[VIDEO] Mangsa Banjir Taman Sri Nanding kini ‘lemas’ dalam debu

0
197

BAGAIKAN antah patah, lesung hilang. Begitulah nasib malang menimpa mangsa banjir di kawasan Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor yang kini mengahadapi masalah kesihatan ekoran masalah debu daripada lumpur kering setelah banjir surut sejak sebulan lalu.

Tinjauan SatuBerita di kawasan itu mendapati kebanyakan penduduk bertindak untuk membasahkan jalan di hadapan kediaman masing-masing bagi mengurangkan masalah debu yang menganggu aktiviti harian mereka.

Salah seorang penduduk, Bahrin Rahim, 58, berkata, meskipun terdapat pihak berkuasa yang hadir ke kawasan itu bersama-sama lori yang membawa air bagi menyiram jalan yang berdebu, namun usaha itu tidak bertahan lama.

“Boleh la bertahan dalam satu hingga dua jam sahaja. Selepas itu, bila dah kering debu akan terbang balik.

“Sebab, lumpur daripada tinggalan banjir itu tebal. Jadi, kami hanya mampu untuk sentiasa siram air sahaja di jalan-jalan. Rumah saya mungkin siram air, rumah lain tak siram, jadi debu akan tetap ada balik,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

Bahrin Rahim, 58, sentiasa membasahkan jalan yang masih disaluti lumpur kering di hadapan rumahnya di Taman Sri Nanding, Hulu Langat Selangor. Foto-SB

Katanya, setiap tingkap dan pintu di rumahnya terpaksa ditutup setiap masa bagi mengelakkan debu memasuki rumah dan sudah tidak menjemur pakaian di luar rumah.

“Bila maghrib, kereta yang lalu-lalang dah kurang, kami buka lah sekejap. Nak tutup sentiasa lubang-lubang angin ini memang tak mampu lah kan. Nak jemur baju pun jadi masalah, kena jemur di dalam,” katanya.

Menurutnya lagi, dia bersama-sama ahli keluarga sering mengalami batuk-batuk dan selesema dalam tempoh sebulan ini ekoran debu daripada lumpur yang kering.

“Kami penduduk juga tidak tahu sekiranya pihak berkuasa ada atau tidak cara untuk mengatasi perkara ini. Mungkin pihak bomba boleh datang untuk sembur dengan air mereka sehingga lumpur-lumpur ini habis,” ujarnya.

Bagi Kamarudin Alias, 68, dirinya terpaksa menyiram lorong berdebu di hadapan rumahnya setiap dua jam bagi mengurangkan masalah debu berterbangan ke dalam rumahnya kerana khuatir terhadap isterinya yang menghidapi penyakit asma serta anaknya yang mengalami alahan.

“Saya risau nanti simptom mereka lebih teruk. Anak saya pula demam kerana alahan akibat resdung dia dah teruk. Kalau kita tak siram, siapa lagi yang nak buat.

“Lori-lori yang siram air dekat jalan pun tak boleh masuk sebab lorong rumah saya kecil. Kita pun tak salahkan mereka, kerana lori mereka besar. Lori Unit Simpanan Persekutuan (FRU) pernah masuk untuk siram air, tapi debu masih ada lagi sebab kereta lalu lalang,” katanya kepada SatuBerita.

Malah, dia dan ahli keluarga terpaksa membeli makanan di kedai setiap hari kerana masalah debu ini turut mengganggu sekiranya mereka ingin melakukan aktiviti masak-memasak.

“Hari-hari kami kena bersihkan rumah, mop dan vakum sebab debu-debu ini sentiasa masuk ke dalam. Tambahan pula isteri saya athma dan anak saya alahan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, pengusaha kedai makan, Salbiah Lukman, 45, yang baru sahaja memulakan kembali perniagaannya sejak tiga hari lalu turut mengalami kesukaran kerana perlu mengutamakan kebersihan makanan yang dijual.

“Kita nak meniaga ni susah sikit kerana masalah debu. Kalau kita tak meniaga, macamana kita nak hidup. Kena selalu basahkan jalan dengan air lah.

“Kena basahkan jalan kerana kita tak mahu debu masuk dalam makanan, kesian juga pada pelanggan nak makan. Nanti pelanggan juga akan mengadu masalah kebersihan. Kena jaga elok-elok lah makanan kita.

Katanya, dirinya benar-benar berharap agar pihak berkuasa melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah debu bertebangan yang dialami mereka sejak sebulan lalu setelah air banjir surut. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here