2 pemancing dikhuatiri lemas di Pulau Mataking

0
425

DUA lelaki dikhuatiri lemas ketika keluar memancing di kawasan perairan Pulau Mataking, Semporna, sejak petang kelmarin.

Kedua-dua mangsa, Makbul Haja, 50, bersama rakannya, Sajid Armani, 39, keluar memancing sekitar pukul 3.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, kedua-dua pemancing terbabit bagaimanapun dilaporkan tidak pulang ke rumah masing-masing selepas tempoh 24 jam.

“Ahli keluarga mangsa yang bimbang sesuatu yang buruk berlaku kemudian membuat laporan polis pada jam 4.41 petang semalam,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Mohd. Farhan berkata, susulan laporan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan pelbagai agensi diaktifkan bermula petang semalam, namun gagal menemukan sebarang petunjuk.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Faisal Ahmad berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan di sekitar kawasan perairan Pulau Kulapuan dan Pulau Mataking.

“Setakat hari ini, kedua-dua mangsa belum ditemui dan operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 5 petang berikutan keadaan laut bergelora dan hujan,” katanya sambil memaklumkan operasi SAR akan disambung semula pagi esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here