Tempahan kacang putih sempena Thaipusam musnah dalam kebakaran

0
461

“Semua kacang, keropok dan kerepek, yang ditempah pelanggan untuk sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina hangus dalam kebakaran dan tidak dapat diselamatkan. Saya sangat sedih.”

Demikian luahan pemilik premis DNS Kacang Putih, T. Sanggarlingam, 52, selepas perniagaan memproses kacang putihnya itu musnah dalam satu kebakaran, awal pagi tadi.

Sanggarlingam yang mengusahakan kedai kacang putih itu sejak 30 tahun lalu berkata, dia dan anak lelakinya S Sathis Kumar, 30, baharu sahaja menyiapkan kerja-kerja tempahan pelanggan di premis berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah malam.

“Setengah jam kemudian, salah seorang jiran menelefon anak lelaki saya memberitahu ternampak percikan api serta terdengar bunyi letupan di dalam kedai itu dan tidak mengambil masa lama, mereka (jiran dan anak lelaki) menelefon pihak bomba.

“Saya dan anak lelaki cuba untuk memadamkan api dengan menggunakan pemadam api tetapi gagal kerana api sudah semakin marak serta tidak dapat dikawal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Ahad.

Sanggarlingam yang kelihatan sedih berkata, kesemua peralatan memasak dan pembungkusan bahan kudapan itu yang setiap satu bernilai RM80,000 hingga RM300,000, musnah dalam kebakaran tersebut dan jumlah kerugian yang dialaminya dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak berkata, kebakaran di Laluan Sungai Pari 12, Buntong di sini turut melibatkan sebuah rumah dua tingkat, sebuah van dan sebuah motosikal.

“Kedai berkenaan terbakar kira-kira 90 peratus. Rumah pula terbakar 30 peratus manakala van dan motosikal hanya lima dan 40 peratus. Kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa,” menurut jurucakap tersebut. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here