Semua jajaran ECRL sudah dimuktamad, tiada lagi perubahan – Wee

0
386

TIADA lagi perubahan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selepas ini, setelah ia dimuktamadlkan sepenuhnya dengan paling akhir membabitkan laluan di Selangor iaitu Seksyen C2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong. 

Katanya, beliau telah menandatangani kelulusan penuh Skim Keretapi Jajaran C2 pada petang semalam, selepas Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengemukakan permohonan oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek ECRL. 

“Kelulusan ini membolehkan kerja fizikal di Seksyen C2 dimulakan pada suku pertama tahun ini kerana kita tidak mahu menangguhkan lagi kerja untuk memastikan pembinaan ECRL dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada Dis 2026. 

“Dokumen (kelulusan penuh Skim Keretapi) adalah dokumen mengikut akta dan kerja seterusnya akan berpandu kepada dokumen ini sehingga selesai. Ini tidak mengira apa juga pilihan raya yang berlaku,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak pembinaan Terowong Genting bagi laluan ECRL hari ini. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali yang juga Pengerusi MRL, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman serta Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwish Abdul Razak. 

Wee berkata demikian ketika ditanya kemungkinan berlaku perubahan jajaran ECRL selepas pilihan raya umum (PRU), seperti yang berlaku selepas PRU ke-14 apabila ia diubah untuk melalui Negeri Sembilan sebelum kembali ke laluan asal selepas berlaku perubahan pentadbiran negara. 

Kelulusan penuh Jajaran C2 itu juga, menurut Wee telah melalui sesi pemeriksaan awam selama tiga bulan bermula September yang mana sebanyak 12,652 daripada 12,797 responden atau 98.87 peratus menyatakan sokongan, dengan bilangan kecil membantah kerana jajaran itu merentasi rumah atau tanah mereka. 

Pada perkembangan berkaitan, Wee berkata kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa khas bertujuan memastikan penglibatan rakyat dan syarikat tempatan serta syarikat bumiputera dalam kerja pembinaan ECRL diketuai ketua setiausaha kementeriannya supaya limpahan pelaksanaan projek mega itu dapat dinikmati rakyat tempatan. 

Ditanya jika perjalanan projek ECRL terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini, Wee berkata kesan banjir tidak begitu signifikan kerana lokasi pembinaan tidak terkesan, membolehkan MRL dan kontraktor utama China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) menghantar jentera bagi membersihkan kesan banjir sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR). 

Sementara itu, mengulas mengenai Terowong Genting yang juga terowong rel terpanjang negara, Wee berkata kerja pengorekan terowong berkembar sepanjang 16.39 kilometer (km) itu akan bermula Mac ini, sebaik sahaja kerja pemasangan dua mesin pengorek terowong (TBM) yang direka khas untuk kegunaan batuan keras itu siap, dengan jangkaan kerja tersebut lengkap selepas tiga tahun. 

Menurut Wee, TBM buatan China itu direka khas dan telah menjalani ujian kilang menyeluruh di situ sebelum sampai ke Malaysia pada Julai lepas menerusi Pelabuhan Klang, Selangor dan akan melalui pemeriksaan serta siri ujian pentauliahan termasuk ujian penerimaan tapak sebelum dibenarkan beroperasi. 

“Mesin TBM berteknologi tinggi ini seberat 1,600 tan dan berukuran 266 meter panjang menjadikannya sebagai TBM terbesar untuk kerja pengorekan terowong laluan rel di Malaysia. Ia melibatkan tiga tugas utama iaitu menggali terowong, mengangkut sisa ke permukaan dan memasang dinding konkrit,” katanya. 

Berhubung tahap kemajuan kerja, Wee berkata setakat Disember lepas, ECRL keseluruhannya sepanjang 665 km mencatatkan tahap kemajuan sebanyak 26.49 peratus didorong oleh kerja pembinaan melibatkan Jajaran Seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu dan Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang. 

Sementara itu, Mohd Zuki menerusi ucapannya berkata Terowong Genting yang merentasi Banjaran Titiwangsa dengan sebahagian besar iaitu 10 km terletak dalam Pahang adalah terowong pertama ECRL dikorek menggunakan kaedan TBM berbanding kaedah gerudi dan letup yang digunakan sebelum ini. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here