Ambil tindakan video tular individu sebar ajaran tasawuf ekstrem

0
527

PIHAK berkuasa agama Islam perlu menyiasat segera berhubung isu video ajaran tasawuf ekstrem yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar seperti yang tular di dalam media sosial ketika ini.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, langkah-langkah berkesan bagi mencegah ajaran tasawuf yang menyesatkan itu daripada disebarkan juga perlu diambil supaya akidah umat Islam di negara ini yang berlandaskan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah akan terus terpelihara.

Menurut beliau, aliran pemikiran sebegitu mampu merosakkan akidah umat Islam dan membawa kepada kesesatan kerana memecahkan agama Islam kepada syariah dan hakikat.

Jelasnya, ia juga memperleceh syariah dan para ulama syariah dengan dakwaan palsu kononnya ulama syariah itu mengubah ajaran agama Islam.

“Jika dihalusi aliran pemikiran tasawuf yang melampau ini berpunca daripada dakwaan kononnya Rasulullah SAW mengajar kepada sahabatnya ilmu hakikat yang tidak didedahkan kepada sahabat yang lain.

“Ini adalah satu tohmahan karut terhadap Nabi Muhammad SAW bahawa Baginda menyembunyikan ilmu yang diperintahkan kepada Baginda menyampaikannya kepada umat Baginda.

“Sedangkan umat Islam diajar untuk mempercayai antara sifat yang wajib bagi seorang Rasul ialah amanah dan tabligh iaitu menyampaikan perintah Allah SWT kepada umatnya dengan sempurna.

“Sementara itu, syariah pula adalah segala peraturan yang ditetapkan Allah SWT di dalam agama-Nya (Islam) yang dikehendaki setiap orang Islam mengikutinya sama ada dalam kehidupan peribadi atau kolektif,” katanya.

Beliau mengulas mengenai video ceramah seorang individu berperwatakan seperti seorang ustaz yang mendakwa pelaksanaan solat adalah menyimpang daripada ajaran Islam yang kini tular dan mendapat reaksi pelbagai daripada warga maya.

Tambah Wan Salim, adalah jelas ajaran yang memecahkan agama Islam kepada zahir dan batin atau syariat dan hakikat adalah merupakan sejenis penyelewengan yang mampu menggugat akidah seseorang Muslim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here