RUU Antigangguan Seksual sedia dibentang bacaan kali kedua

0
435

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membuat persiapan rapi dan bersedia membentangkan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual pada mesyuarat Parlimen bagi penggal kelima yang dijangka bersidang bermula 28 Februari hingga 24 Mac depan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, rang undang-undang itu seiring dengan agenda kerajaan untuk mempertingkatkan kesejahteraan dan keselamatan dalam menangani ketidaksamaan gender.

Beliau berkata, bagi tujuan penggubalan rang undang-undang tersebut, KPWKM telah menubuhkan Pasukan Projek Khas (SPT) membabitkan agensi kerajaan antaranya Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ahli akademik dan badan bukan kerajaan yang memiliki kepakaran, pengetahuan serta pengalaman luas berkenaan gangguan seksual.

“Segala pandangan, maklum balas dan cadangan yang diberikan oleh ahli SPT semasa proses perbincangan dan libat urus amatlah dihargai. Mereka merupakan penggerak utama dalam proses penggubalan rang undang-undang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penggubalan rang undang-undang antigangguan seksual itu telah bermula sejak 2019 sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama pada 15 Disember lepas. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here