JIKA dahulu Lorong Tuanku Abdul Rahman bersebelahan Kompleks Campbell di Kuala Lumpur ini hanya menyajikan dinding putih, kini lorong berkenaan dihiasikan dengan mural berkonsepkan kehidupan klasik Tanah Melayu.
Mural sepanjang 300 kaki di sepanjang bangunan Kompleks Campbell itu pasti menggamit nostalgia kepada orang ramai yang lalu lalang di laluan berkenaan dengan lukisan yang menggambarkan kehidupan di Ibu Kota suatu ketika dahulu.
Malah, mural hasil lukisan tangan menggunakan cat ‘acrylic water based’ ini turut memaparkan lukisan 3D apabila dihiasi dengan barangan hiasan seperti beca, vespa serta kerusi yang membolehkan orang ramai berinteraksi dengan mural ini secara lebih dekat.


Ketika ditemui SatuBerita di lorong berkenaan, Nurul Syafiqah dan Aina Sofea, masing-masing berusia 20 tahun menyifatkan mural itu merupakan satu cara yang bagus bagi memperkenalkan kehidupan di Tanah Melayu suatu ketika dahulu kepada generasi yang lebih muda.
“Ia sangat bagus kepada generasi muda sekarang untuk belajar dan kenal bagaimana kehidupan zaman dahulu. Generasi masa depan juga tak akan lupa dengan kehidupan generasi lama.
“Kalau kanak-kanak datang, mereka pun akan seronok dengan adanya ‘prop’ seperti beca dan vespa ini,” kata mereka.


Bukan setakat mengetengahkan kehidupan di Ibu Kota suatu ketika dahulu sahaja, namun mural ini turut mengangkat martabat seniman agung tersohor negara, Tan Sri P. Ramlee apabila babak-babak daripada filem terkenalnya seperti Bujang Lapok dan Labu Labi turut diabadikan.
“Kami juga tengok filem dan dengan dengar lagu P. Ramlee walaupun tidak semua. Kanak-kanak zaman sekarang, mereka yang tidak kenal dengan beliau, boleh teruja untuk kenal beliau kerana mural ni berwarna warni dan boleh berinteraksi. Kanak-kanak akan berminat untuk tahu dan kenal beliau,” ujar Syafiqah dan Aina lagi.
Bagi Junaidah Zailani , 58, yang mengunjungi lorong itu bersama ibu dan anak perempuannya, mural berkenaan memberi satu perasaan rindu kepada suasana kampung suatu ketika dahulu.
“Seronok kita dapat hayati gambar yang ada seperti ala-ala kampung selain ala-ala bandar suatu ketika dahulu. Malah, pengunjung luar daripada negara ini juga boleh rasa seronok dengan mural ini.
“P. Ramlee pula sememangnya lagenda dengan filem yang berunsur nasihat. Jadi, mural ini juga mengingatkan kita kepada zaman kegemilangan beliau lah, ia satu usaha yang bagus,” ujarnya.


Manakala Amirul Syafiq, 30, mengetahui kewujudan mural berkenaan melalui media sosial dan tidak berfikir panjang untuk datang mengunjungi lorong Tuanku Abdul Rahman bagi melihat sendiri kecantikan seni yang dipaparkan pada dinding bangunan itu.
Katanya, mural itu bukan sahaja menggamit memori, malah ia turut mendidik dan mengajar kehidupan suatu ketika dahulu kepada generasi muda dengan hanya dengan meneliti gambar yang dilukis.
“Memang cantik, kita boleh datang hayati bagaimana orang zaman dulu hidup. Contoh gamabr orang tengah masak di warung ni, baru kita tahu macamnilah cara dan suasana di warung suatu ketika dahulu,” ujarnya. –SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.