Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pelantikan Azam Baki: Marzuki jawab Azalina -

Pelantikan Azam Baki: Marzuki jawab Azalina

PROSES pelantikan Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuat secara teratur mengikut peraturan dan kaedah yang ditetapkan.

Bekas Setiausaha Sulit Kanan Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, sebagai pegawai tinggi kerajaan yang sedang dalam perkhidmatan, Azam tertakluk kepada semua syarat dan proses sama ada sebelum dan selepas pelantikan dibuat.

“Jadi tidak timbul soal sama ada Perdana Menteri Ke-8 membuat semakan latar belakang pegawai sebelum pelantikan dibuat. Proses pelantikan dibuat secara teratur mengikut peraturan dan kaedah yang ditetapkan.

“Sebarang isu yang timbul selepas itu hendaklah ditangani menurut peruntukan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau mengulas persoalan yang ditimbulkan Penasihat Khas Kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia), Datuk Seri Azalina Othman Said, mengenai sama ada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 telah membuat semakan latar belakang Azam sebelum beliau dilantik sebagai KP SPRM.

Marzuki menjelaskan, pelantikan KP SPRM adalah dibuat di bawah peruntukan Seksyen 5 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Di bawah seksyen itu, KP SPRM dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Perdana Menteri pula seperti mana dalam pelantikan mana-mana pegawai tinggi kerajaan yang lain, biasanya menerima syor daripada Ketua Setiausaha Negara atau mana-mana pihak yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Syor ini diangkat kepada Perdana Menteri dalam bentuk kertas cadangan pelantikan pegawai yang mana di dalamnya terdapat laporan mengenai kelayakan pegawai dan justifikasi pelantikan.

Terdapat proses tertentu dalam perkhidmatan awam yang menentukan kelayakan seseorang pegawai untuk dilantik ke mana-mana jawatan. Ini termasuk proses tapisan keselamatan dan keutuhan yang dibuat oleh pelbagai agensi dari masa ke semasa.

Bagi pegawai yang sedang berkhidmat pula, mereka tertakluk kepada pelbagai peraturan dan syarat termasuk pengisytiharan harta.

Ada borang tertentu yang perlu diisi dan kaedah tertentu yang perlu dipatuhi oleh seorang pegawai yang sedang berkhidmat dalam mengisytiharkan harta masing-masing.

Azam adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya.

“Saya percaya sebagai pegawai tinggi kerajaan yang sedang dalam perkhidmatan, beliau tertakluk kepada semua syarat dan proses ini sebelum dan selepas pelantikan dibuat,” katanya.