Jangan kaitkan proses lantikan Azam Baki dengan kontroversi sekarang – Muhyiddin

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu isu kontroversi pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dicampur adukkan dengan proses pelantikannya ketika beliau mentadbir negara.

Katanya, pelantikan KP SPRM itu dilakukan mengikut prosedur dan proses yang tertatur dan mengikut peraturan sepatutnya.

“Yang melantik bukan saya, ia adalah selepas diperakui oleh Yang Di-Pertuan Agong. Proses lantikan itu teratur dan mengikut peraturan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Putrajaya hari ini.

Tambahnya, pelantikan seseorang pegawai bagi menjawat mana-mana jawatan penting perlu melalui satu proses yang tidak begitu mudah.

“Ia perlu diperakukan oleh sebuah jawatankuasa yang mana dalam kes ini ialah Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang mengemukakan cadangan nama. Bukan saya pilih, ia dicadangkan (kepada saya).

“Setelah diteliti dia (Azam) layak dan memenuhi dan mematuhi semua kriteria. Jadi saya fikir proses itu tidak salah dan teratur. Jadi jangan kaitkan proses pelantikan itu dengan isu yang sekarang,” ujarnya.

Katanya, beliau yang pada ketika itu sebagai seorang Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan oleh KSN dan badan jawatankuasanya sebelum memperakukan cadangan nama Azam Baki kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk diperkenankan pelantikannya.

Terdahulu pada Sabtu, Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-undang dan Hak Asasi Manusia), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi satu hantaran di Facebook beliau mempersoal samada Muhyiddin melakukan semakan latar belakang terhadap Azam sebelum melantik beliau sebagai KP SPRM.

Bagaimanapun, persoalan itu dijawab oleh Bekas Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad, yang turut menjelaskan bahawa proses pelantikan Azam Baki adalah berlunaskan undang-undang serta mengikut prosedur dan aturan yang sepatutnya.

Azam Baki dilanda kontroversi berhubung pemilikan saham selepas dia mengakui adiknya, Nasir Baki menggunakan akaun perdagangan miliknya untuk membeli lebih dua juta saham dan waran dua syarikat pada 2015 dan 2016.

Azam dilantik mengetuai SPRM berkuatkuasa 9 Mac 2020 selepas ketua pesuruhjaya sebelumnya Latheefa Koya melepaskan jawatan.–SB