Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
100 pelajar tidak ke sekolah: Empat kakitangan KTMB digantung tugas -

100 pelajar tidak ke sekolah: Empat kakitangan KTMB digantung tugas

EMPAT kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) digantung tugas kerana kereta api tidak berhenti di Hentian Kuala Gris sehingga menyebabkan 100 pelajar tidak dapat ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong pada hari pertama penggal ketiga 2021/2022, semalam.

Mereka yang digantung tugas terdiri daripada pemandu, pembantu pemandu, penyelia kereta api dan pemeriksa tiket.

Menurut Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd. Zain Taha, beberapa kakitangan lain yang terbabit dalam insiden semalam turut dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan yang akan dilengkapkan dalam tempoh dua minggu.

Pihaknya amat kesal dan memandang serius perkara itu dan satu panel siasatan sudah diwujudkan bagi membuat siasatan lebih terperinci dengan mengambil kira semua aspek sama ada daripada sudut operasi, teknikal serta corak larian kereta api berkenaan.

“Pihak KTMB menganggap insiden ini tidak sepatutnya berlaku dan kita akan pastikan beberapa langkah akan diambil bagi memastikan ia tidak akan berulang pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, tindakan yang akan diambil nanti bergantung kepada penilaian panel terhadap kes itu , selain turut mencadangkan kepada pihak pengurusan kereta api untuk tindakan yang perlu diambil dalam menyelesaikan insiden ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Hentian Kuala Gris, Kuala Krai, hari ini.

Mohd. Zain berkata, panel siasatan yang diwujudkan dalam insiden berkenaan adalah prosedur biasa bagi membantu menangani sesuatu insiden yang berlaku dalam KTMB dan kejadian semalam adalah yang pertama kali.

“Dalam insiden semalam, pihak KTMB sekali lagi memohon maaf kepada semua warga Kuala Gris dan pelajar sekolah terutamanya kepada ibu bapa serta pihak SMK Dabong selain penduduk di kawasan sekitar di atas kejadian yang berlaku semalam,” katanya.

Media semalam melaporkan, keterujaan 100 pelajar SMK Dabong untuk ke sekolah pada hari pertama penggal ketiga 2021/2022 bertukar sebaliknya, apabila kereta api yang sepatutnya mereka naiki tidak berhenti di Hentian Kuala Gris sehingga menyebabkan ada dalam kalangan mereka tidak dapat hadir ke sekolah.

Situasi itu menyebabkan kesemua pelajar terbabit tidak dapat ke sekolah yang akhirnya pelajar itu kembali semula ke rumah masing-masing.