SEORANG lelaki cedera parah di kepala selepas dipukul anak saudaranya dengan kayu hanya kerana mengambil ubat nyamuk tanpa kebenaran, dalam kejadian di Kampung Tempoyak, Kota Bharu, pada Isnin lalu.
Mangsa, 55, sempat berlari ke rumah adiknya berhampiran dalam keadaan berlumuran darah untuk memaklumkan kejadian menimpanya dalam
kejadian pada pukul 11.30 malam itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, mangsa tinggal seorang diri di rumah berkenaan.
Katanya, ketika kejadian, suspek berusia 30 tahun datang ke rumah mangsa sebelum mengambil sekotak ubat nyamuk tanpa kebenaran.
“Mangsa menegur suspek yang didakwa sering mengambil barangnya tanpa keizinan menyebabkan suspek berang dan terus memukul mangsa di kepala menggunakan sebatang kayu sebelum melarikan diri.
“Mangsa yang merupakan seorang duda cedera parah dan berlumuran darah terus menuju ke rumah adiknya memaklumkan dia dipukul oleh anak saudaranya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya menahan suspek di tepi sungai di kampung yang sama pada 8.45 pagi tadi.
“Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.