Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan meminta semua pihak yang terbabit, termasuk Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memberi penjelasan serta mengesahkan kenyataan yang dibuat, selain mengumpul sebarang bukti berkaitan.
Pengawal selia pasaran modal tempatan itu dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.
“Selain itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan,” tegas kenyataan itu.
Pada Rabu, Azam pada sidang media khas menafikan pembabitan dalam dakwaan pembelian saham, namun mengakui akaun saham miliknya telah digunakan adiknya.
Sementara itu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM, pada Rabu mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.
Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujan,g berkata LPPR dalam mesyuarat khas pada 24 November lalu mendapatkan penjelasan Azam dan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menjelaskan bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki, untuk membeli saham-saham pada 2015.
Abu Zahar berkata, pembelian saham-saham berkenaan dibuat di pasaran saham terbuka dan tiada sebarang pencanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham berkenaan pada 2015, dan saham-saham itu juga telah dipindahkan kepada Nasir pada tahun yang sama.
Beliau berkata, selepas berbincang dengan panjang lebar, ahli-ahli LPPR berpendapat bahawa Azam tiada sebarang kepentingan ‘pecuniary’ (kewangan) mahupun benefisial ke atas saham-saham berkenaan.
“Justeru, LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau ‘conflict of interest’ (percanggahan kepentingan) dalam perkara itu,” katanya dalam sidang media khas pada Rabu.
Sebelum ini tular di media sosial dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.