ADA nyawa, ada rezeki. Itulah pepatah Melayu yang sesuai untuk wanita tertua di dunia yang meraikan ulang tahun kelahirannya buat ke-119.
Tidak jemu menyambut ulang tahun kelahiran, Kane Tanaka meraikan momen indah itu di kediamannya di Wilayah Fukuoka, Jepun pada Ahad.
Malah, menurut ahli keluarganya, Kane yang dilahirkan pada 2 Januari 1903 berhasrat untuk hidup sehingga usia 120 tahun.
Menerusi perkongsian di laman Twitter, cicitnya, Junko Tanaka menyifatkan usia Kane yang mencecah 119 tahun adalah satu pencapaian yang hebat.
“Pencapaian yang luar biasa, Kane Tanaka mencapai usia 119 tahun. Saya berharap moyang akan hidup ceria selalu,” demikian tulisnya dalam ciapan itu.
Muat naik tersebut turut memaparkan gambar Kane duduk di kerusi roda sambil tersenyum.
Lebih mengejutkan, walaupun sudah lanjut usia, Kane masih gemar minum air Coca-Cola dan turut menerima hadiah minuman berkarbonat itu daripada cicitnya.
Pada 2019, Guinness World Records mengesahkan Kane ialah wanita tertua di dunia.
Kane yang merupakan anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik mendirikan rumah tangga dengan pemilik kedai beras pada usia 19 tahun.
Dia telah melalui pelbagai peristiwa bersejarah termasuk terselamat daripada dua Perang Dunia dan selesema Sepanyol pada 1918. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.