EKORAN lonjakan dalam kes positif Covid-19 yang melanda ibu negeri India, Delhi yang membawa kepada kenaikan sebanyak 8.3 peratus kes-kes positif wabak itu, pentadbiran wilayah itu kembali mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan terhadap rakyatnya.
Setakat ini Delhi mencatatkan sebanyak 5,481 kes harian baharu Covid-19 dan kini ibu negara India itu merekodkan sekitar 11,000 kes positif dan 350 pesakit kini menerima rawatan di hospital.
Menurut Timbalan Ketua Menteri, Manish Sisodia dalam satu sidang media pada Selasa, tindakan itu merupakan sebahagian daripada langkah Delhi untuk menangani penularan wabak itu.
“Perintah itu menetapkan orang ramai perlu kekal berada di rumah pada Sabtu dan Ahad melainkan kes kecemasan,” katanya.
Sebelum ini, ibu negeri India itu telah melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam.
Kakitangan kerajaan diminta bekerja dari rumah kecuali melibatkan sektor perkhidmatan penting, dan sektor swasta akan beroperasi dengan kapasiti 50% pada hari bekerja, kata Sisodia.
Terdahulu, Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal pada Selasa didapati positif Covid-19 dan menjalani kuarantin diri di rumah.
Pihak berkuasa telah meningkatkan kapasiti hospital bagi menangani kemungkinan lonjakan kes Covid-19 dalam tempoh beberapa minggu akan datang. — SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.