Bantuan kerajaan terjejas akibat hutang 1MDB

HUTANG 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang perlu ditanggung ketika ini disifatkan telah menyebabkan kerajaan menghadapi situasi sukar dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana banjir.

Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim berkata, hutang yang dicipta ketika zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak itu telah menyebabkan kewangan kerajaan kini semakin lemah.

Bagaimanapun, Najib dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asraf Wajdi Dusuki tetap berterusan untuk merosakkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Jika tidak ada skandal 1MDB negara akan ada wang untuk bantu rakyat akibat bencana banjir seperti yang berlaku sekarang.

“Adakah pemimpin UMNO sedar dan insaf hakikat itu?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hassan, terdapat banyak yang boleh dilakukan oleh kerajaan bagi membantu mangsa banjir sekiranya tidak perlu menanggung hutang berkenaan.

Dalam pada itu, Hassan turut membidas UMNO yang mahu merosakkan KWSP seperti dilakukan Najib sebelum ini terhadap Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kakitangan awam apabila RM4 bilion lesap selepas dipinjamkan kepada 1MDB.

Tidak cukup dengan itu ujarnya, pemimpin-pemimpin UMNO kini ingin merisikokan wang simpanan persaraan pekerja swasta dalam KWSP.

“Pemimpin Melayu jenis apa pemimpin-pemimpin UMNO sekarang ini?

“Daripada Presiden UMNO hingga ke Ketua Pemudanya mahu memperjudikan wang pencen pekerja swasta dalam KWSP kononnya atas alasan hendak bantu rakyat yang terjejas akibat bencana banjir.

“Adakah pemimpin UMNO sudah bangkrap idea?” ujarnya.

Hassan berkata sedemikian setelah UMNO mendesak kerajaan untuk membenarkan pengeluaran RM10,000 wang pencarum menerusi i-Citra terutamanya pada musim banjir.

Manakala pinjaman sebanyak RM 4 bilion adalah merujuk kepada dana KWAP dalam Kes SRC International Sdn. Bhd. (SRC) yang merupakan anak syarikat 1MDB yang didakwa Najib untuk tujuan pelaburan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bekas Perdana Menteri itu mempunyai kepentingan peribadi di dalam kabinet apabila memutuskan meluluskan jaminan kerajaan sebanyak RM 4 bilion daripada KWAP ke SRC.–SB