Tentera sertai Ops Murni bantu mangsa banjir di Johor

SEBAHAGIAN daripada satu batalion tentera di setiap negeri, termasuk di Johor, mula diatur gerak ke daerah yang dilanda banjir, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Antara kawasan di Johor yang terjejas dengan banjir adalah Tangkak, Segamat, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kluang dan Mersing.

“Ini bagi membantu petugas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pasukan bomba dan penyelamat, polis dan setiap agensi berkaitan menerusi Operasi Murni,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keutamaan pasukan tentera adalah memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat serta mempercepat penghantaran makanan dan barang keperluan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, pihak tentera juga akan membantu kawasan yang terputus hubungan jalan darat serta kawasan pedalaman, selain membantu proses penyediaan makanan di PPS.

“Setakat 12 tengah hari ini, di Johor sahaja, bawah Ops Murni, 12 pegawai dan 184 anggota berada di lapangan dan melakukan tugasan operasi.

“Sebanyak 31 aset diatur gerak ke kawasan terlibat, termasuk tujuh bot, tujuh enjin bot, seunit trak 7 tan, 14 trak 3 tan dan dua trak 1 tan.”

Hishammuddin berkata, pasukan tentera sentiasa berkomunikasi dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Meteorologi bagi mendapatkan maklumat terkini paras air sungai di Johor serta ramalan cuaca, khususnya di selatan Semenanjung.

Jumlah mangsa banjir di tiga negeri mencatatkan peningkatan dengan Pahang merekodkan 2,188 orang di lapan daerah, Melaka (2,537 orang) dan Negeri Sembilan (2,041 orang) setakat awal pagi tadi.