Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Ops penjaja jalanan: 215 saman dikeluarkan -

Ops penjaja jalanan: 215 saman dikeluarkan

SEBANYAK 215 saman dikeluarkan selain 137 tindakan advokasi iaitu memberi peringatan tegas, ke atas pengusaha serta penjaja jalanan menerusi operasi khas membanteras aktiviti itu di seluruh negara dari 13 hingga 31 Dis lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata tindakan golongan terbabit berniaga di persimpangan lampu isyarat  dan sebagainya merupakan satu kesalahan di bawah 10A (1) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya.

“Ia menyatakan tiada urusan jual beli dibenarkan di persimpangan jalan atau di atas mana-mana jalan raya.

“Tindakan menjual makanan jeruk mangga dan lain-lain makanan serta minuman ini, sekiranya tidak dikawal boleh mendatangkan risiko kemalangan kepada penjaja itu sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” menurut kenyataan dikeluarkan hari ini.

Mohd Nadzri sehubungan itu menggesa semua pengusaha dan penjaja jalanan agar menghentikan penjualan makanan dan minuman di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya.

“JSPT komited menjalankan operasi sebegini secara berterusan supaya mereka mematuhi arahan dan peraturan undang-undang yang ditetapkan.

“Mana-mana individu yang terlibat dalam urusan jual beli boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika disabitkan kesalahan,” katanya.