Khai Bahar ubat kekecewaan peminat

Jika ada yang masih ingat, penyanyi Khai Bahar sepatutnya mengadakan konsert setahun yang lalu. Namun dek kerana penularan Covid-19, dia terpaksa menangguhkan konsert itu meskipun persiapan sudah dilakukan.

Mengubati kekecewaan sendiri, dia sekali lagi tampil dengan Konsert Nafas Cinta yang akan diadakan pada 12 Februari hadapan.

“Apabila saya mendapat tawaran mengadakan konsert tahun lalu, bagi saya ia satu peluang keemasan. Namun, perancangan Allah SWT itu lebih baik.

“Saya menganggap belum ada rezeki untuk buat konsert apabila ia terpaksa dibatalkan atas faktor tertentu dan selepas berbincang dengan semua pihak biarpun ketika itu sudah banyak persiapan dilakukan.

“Apabila pihak Nova Music mahu menganjurkan konsert saya, kata orang, besar tapak tangan nyiru saya tadahkan. Pelawaan itu saya anggap rezeki buat saya,” kata penyanyi berusia 27 tahun ini.

Sejak berkecimpung dalam bidang seni, Khai gembira apabila kebanyakan lagu nyanyiannya mendapat tempat di hati peminat.

Lagu-lagu seperti Bayang dan Luluh bukan sahaja banyak distrim oleh peminat tetapi juga lagu Nafas Cinta gandingan bersama Aina Abdul layak ke Anugerah Juara Lagu ke-36.

Jelasnya, dengan adanya persembahan berskala besar begini, sudah pasti akan menjadi tanda terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokongnya sejak dahulu.

“Saya tahu ramai sedih dan kecewa apabila konsert yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya dibatalkan. Saya pun tidak tahu nak memberi reaksi macam mana, sebab saya sendiri juga sedih.

“Namun, kehadiran Konsert Nafas Cinta ini saya harap dapat mengubat kesedihan mereka. Biarpun lokasi persembahan tidak dapat memuatkan jumlah yang ramai, sekurang-kurangnya impian dan hasrat saya serta peminat untuk menjayakan persembahan berskala besar tercapai,” tambahnya.

Konsert anjuran syarikat Nova Music itu bakal diadakan di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ PAC), 1 Utama Shopping Centre, Bandar Utama bakal menampilkan Adira dan Aina Abdul sebagai penyanyi undangan.

Tiket untuk menyaksikan konsert secara fizikal yang dijual dengan harga RM189.90 boleh mula dibeli pada 31 Disember lalu melalui ONETIX dengan melayari onetix.com.my.

Untuk tontonan secara virtual pula, layari
www.cloudtheatre.com.my untuk pembelian.