Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bot kecil selamatkan mangsa banjir terperangkap di rumah ibadat -

Bot kecil selamatkan mangsa banjir terperangkap di rumah ibadat

BEBERAPA bot kecil dipercayai milik penduduk di Kampung Lubok Batu, dekat sini menjadi penyelamat, apabila paras air Sungai Segamat, Johor tiba-tiba naik mendadak, semalam.

Pada kejadian 5 petang itu, kira-kira 10 orang yang ketika itu berada di Rumah Berhala Fook Poon Thong di kampung itu terperangkap, apabila rumah berhala yang terletak bersebelahan sungai itu, dinaiki air sehingga ke paras pinggang.

Salah seorang penduduk M. Chandran berkata paras air yang naik secara tiba-tiba menyukarkan mereka yang berada di dalam rumah agama itu, untuk keluar.

“Penduduk di sekitar kampung ini terpaksa menggunakan beberapa bot kecil dan sampan, untuk mengeluarkan mereka yang terperangkap.

“Tidak sangka air naik terlalu pantas, jika hujan tidak berhenti mungkin air akan naik sehingga ke tingkat satu bangunan rumah agama ini. Empat tahun lepas pernah banjir tapi keadaan tidak pernah seteruk ini,” kata mekanik itu ketika ditemui, petang tadi.

Chandran merupakan antara penduduk kampung yang membantu mengeluarkan penduduk terperangkap, memandangkan bengkel tempatnya bekerja terletak bersebelahan dengan rumah berhala berkenaan.

Sementara itu, tinjauan di sekitar Kampung Seberang Batu Badak di sini mendapati, selain kediaman penduduk ditenggelami air hingga paras pinggang, jalan-jalan utama untuk masuk ke perkampungan itu turut ditenggelami air.

Setakat ini, sebanyak 20 pusat pemindahan sementara dibuka di daerah ini menempatkan 1,136 mangsa daripada 290 keluarga, yang tinggal di 14 kampung dan tiga taman perumahan, terjejas banjir.

Sungai Segamat di Bandar Segamat kini melepasi paras bahaya dengan paras air pada 9.82 meter.- BERNAMA