SUNGAI Segamat di Bandar Segamat dan Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat di Johor sudah lepas paras bahaya, setakat pukul 4 petang tadi.
Berdasarkan jadual bacaan aras sungai yang direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor, Sungai Segamat di Bandar Segamat mencecah paras 9.80 meter (m) yang melebihi paras bahaya 9.14m.
Sungai Muar di Kampung Awat pula merekodkan paras 21.09m, juga melepasi paras bahaya 19.95 m.
Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat pula merekodkan paras waspada 8.16m berbanding paras amaran 8.53m dan paras bahaya 9.14m.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail berkata, kerajaan Johor sedia membuka lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini, berikutan keadaan hujan berterusan yang melanda kebanyakan daerah.
Katanya, ini kerana keadaan cuaca hujan berterusan itu dibimbangi menyebabkan lebih banyak kawasan rendah di negeri ini dinaiki air bah.
“Jika PPS yang dibuka tidak mencukupi, kerajaan Johor menerusi Jabatan Kebajikan Masyatakat (JKM) Johor bersedia membuka PPS baharu untuk menempatkan mangsa banjir,” katanya selepas meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang, di Labis, Segamat, hari ini.
Sementara itu di KELANTAN, penduduk di sepanjang pinggir Sungai Kelantan, Tumpat dinasihat berwaspada kerana dibimbangi menerima limpahan air dari hulu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, walaupun paras sungai masih di tahap waspada mengikut bacaan di Tambatan Diraja, Kota Bharu, penduduk sekitar dinasihatkan bertindak awal jika limpahan memasuki penempatan.
“Tumpat mempunyai dua sungai yang menyumbang kepada situasi banjir iaitu Sungai Golok yang boleh menjejaskan lebih 10 kampung di Pengkalan Kubor dan Sungai Kelantan membabitkan sekitar Pasir Pekan serta beberapa kampung di gugusan pulau dalam mukim Kelaboran.
“Ketika gelombang pertama sebelum ini, kenaikan paras air di sekitar Pasir Pekan dan jeti Kok Majid di Kampung Laut hanya sedikit tetapi Pengkalan Kubor mengalami limpahan fenomena air pasang beberapa kali.
“Setakat ini, situasi di Tumpat masih terkawal dan tiada mangsa terjejas.
“Bagaimanapun, kita mengingatkan penduduk di kawasan yang berisiko supaya tetap berwaspada,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd. Azmir turut memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak menjadikan bencana banjir sebagai pesta walaupun mereka sudah biasa dengan situasi itu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.