
MENGAKUI sedikit terkilan dengan sebuah stesen televisyen (TV) yang didakwa menyenarai hitamkan namanya daripada terlibat dalam produk mereka, pelakon Fauzi Nawawi mempersoalkan tindakan tersebut.
Jelasnya, dia terkilan apabila pihak tersebut tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara berkenaan dan hanya mengetahui apabila namanya ditolak begitu sahaja.
Perkara ini terjadi akibat isu jenaka rogol yang dibuat olehnya menerusi satu temubual program beberapa tahun lepas yang kembali hangat diperkatakan baru-baru ini.
“Saya terkilan dan kecewa kerana nama saya ditolak beberapa kali oleh mereka. Sebelum ini tak pernah berlaku pun perkara sebegini.
“Kalau sebab watak tak sesuai, saya faham. Tapi ini nama kena tolak tanpa diberitahu apa kesalahan saya.
“Kalau betul pihak mereka nak senarai hitamkan saya, kenapa tak keluarkan kenyataan secara rasmi? Sekurang-kurangnya saya boleh buat keputusan untuk masa depan,” persoalnya.
Jelasnya, sekiranya betul namanya disenarai hitam, dia boleh merujuk kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berhubung perkara berkenaan.
Dia juga mahu penjelasan mengapa perkara tersebut boleh berlaku dan mahu mengetahui tindakan tersebut melibatkan akta yang mana.
Jika ada yang masih ingat, beberapa bulan yang lalu nama Fauzi hangat diperkatakan apabila bercerita kembali adegan rogol yang dilakonkan bersama Raja Farah dalam sebuah produksi beberapa tahun yang lalu.
Dia yang menceritakan secara terperinci babak berkenaan menerima kecaman ramai termasuklah rakan artis yang menganggap jenaka membabitkan isu rogol tidak sepatutnya dibuat.
“Kalau nama dah tak lepas dengan pihak stesen, baiklah buat kerja lain. Saya bukan nak tarik diri daripada bidang seni tapi nak cuba cari rezeki melalui cara lain.
“Saya ada keluarga dan anak-anak yang perlu diberikan perhatian, kena cari rezeki untuk mereka,” katanya. – SB