KEASYIKAN sekumpulan geng motosikal yang berkonvoi ke Pulau Langkawi dipercayai ingin menyambut tahun baharu nampaknya tidak kesampaian.
Menerusi satu video tular di laman sosial Facebook, dapat dilihat ratusan penunggang motosikal ditahan oleh sepasukan polis sebaik sahaja tiba di jeti pelabuhan pusat peranginan berkenaan.
Video berdurasi tiga minit itu turut memaparkan penunggang-penunggang motosikal berkenaan terpaksa menolak motosikal masing-masing daripada kapal dan berbaris untuk pemeriksaan.
Difahamkan, penunggang-penunggang motosikal berkenaan bergerak secara konvoi dari beberapa buah negeri bagi menyambut tahun baharu setelah sekian lama aktivti berkenaan tertangguh ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen memuji kecekapan pasukan polis berkenaan yang merancang operasi pemeriksaan secara besar-besaran itu dengan begitu baik sehingga tiada siapa dapat melepaskan diri mereka.
Bagaimanapun, terdapat juga netizen yang bersimpati dengan kumpulan motosikal tersebut yang ditahan sejurus tiba di jeti pelabuhan.
“Tahniah PDRM, jangan biarkan mereka hanyut dengan dunia mereka yang merugikan, bantu lah mereka sebaik mungkin, masih ada sinar di hujung terowong,” tulis Mohd Roslan di ruangan komen.
“Pandai strategi polis trafik kali ini bukan satu lori, tapi satu feri sekali dapat. Apa-apa pun semoga dipermudahkan segala urusan semua,” ujar Fadhli Zulkifli.
“Kesian pula aku tengok. Mereka baru nak hiburkan hati selepas dua tahun PKP, tiba-tiba kena macamni pula,” luah Mohd Suffian.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.