Mangsa banjir KKMM mohon moratorium pembayaran sewa kuarters

KAKITANGAN Kementerian Komunikasi, Multimedia Malaysia (KKMM) yang terjejas akibat banjir baru-baru ini memohon pertimbangan pihak kementerian bagi memberi moratorium penangguhan pembayaran sewa kuarters.

Wakil Penduduk Cawangan Pengesan Siaran (CPS) KKMM Klang Suhaimi Sulaiman, 48,  yang bertugas di ibu pejabat Radio Televisyen Malaysia (RTM) Angkasapuri berkata, perkara itu pastinya dapat membantu 20 penduduk kuarters dari lima keluarga terbabit untuk memulakan fasa pemulihan daripada bencana.

“Jika pihak kementerian boleh memanjangkan perkara ini ianya satu keputusan yang istimewa agar dapat memberi kami sekurang-kurangnya moratorium tiga bulan kerana bayaran tersebut kami boleh gunakan untuk proses pemulihan kami,” katanya kepada Bernama. 

Suhaimi dan penduduk CPS adalah antara yang menerima bantuan bencana banjir dari KKMM yang diserahkan oleh Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek pada Rabu. 

Beliau berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan sumbangan diberikan yang secara langsung menunjukkan keprihatinan pihak kementerian terhadap nasib menimpa kakitangannya dan menjadi penyuntik semangat untuk mereka bangkit semula. – Bernama