Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Zynakal diiktiraf, beberapa nama lain buat kejutan di Anugerah MACP 2021 -

Zynakal diiktiraf, beberapa nama lain buat kejutan di Anugerah MACP 2021

DIANGKAT sebagai Komposer Muda Berpotensi sempena Anugerah MACP 2021, Zynakal menganggap perkara tersebut adalah rezeki buat dirinya.

Dia yang masih lagi baharu dalam dunia penciptaan menganggap semua ini adalah tuah buat dirinya memandangkan masih lagi ramai pencipta muda berpotensi yang tak kurang hebat.

“Saya anggap ini merupakan penutup tahun 2021 yang manis. Kalau nak diikutkan tidak banyak karya baharu dipasarkan kali ini.

“Mungkin mereka lihat kepada ahli MACP yang aktif dalam bidang penciptaan. Itu juga dikira sebagai faktor untuk melayakkan saya merangkul anugerah ini,” kata Zynakal.

Dalam majlis anugerah yang diadakan pada Selasa, penyanyi dan komposer ini tidak menafikan lagu Sakit gandingannya bersama dengan Yonnyboii antara ‘penyumbang’ besar kepada kejayaannya.

Sejak dilancarkan dua tahun yang lalu, Sakit sudah ditonton lebih 46 juta kali menerusi jumlah tontonan di YouTube miliknya.

Tidak cukup dengan itu, lagu itu juga menjadi antara lagu paling tinggi strim di pelbagai platform digital dan masih lagi kekal dalam beberapa carta muzik tanah air.

“Sakit menjadi penanda aras kepada kejayaan saya memandangkan ia memperjuangkan mesej mengenai kesihatan mental.

“Lagu ini juga adalah cerita yang dikongsi bersama peminat dan akhirnya terus melekat di hati mereka,” tambahnya lagi.

Dalam anugerah tersebut, beberapa karya lain turut diiktiraf termasuklah lagu Sumpah yang dicipta oleh Omar K dan dinyanyikan oleh Naim Daniel memenangi kategori Lagu Melayu Dendangan Terbanyak.

Bagi Lagu Inggeris Dendangan Terbanyak pula dimenangi I Am Mee ciptaan Edry Abdul Halim dan dinyanyikan oleh Datuk Seri Vida.

Untuk Lagu Tamil Dendangan Terbanyak (Pogiren); Lagu Cina Dendangan Terbanyak (Drama Queen) dan Lagu Dendangan Luar Negara Terbanyak (Wei Da De Miao Xiao).

Menariknya Namawee mencipta kejutan apabila memenangi kategori Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi menewaskan nama-nama komposer ternama seperti Datuk M Nasir, Ajai dan Edry Abdul Halim.

Dia juga menyapu kategori Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi menerusi karya Piao Xiang Bi Fang.

Syarikat rakaman Universal Music Publishing pula memenangi kategori Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi dan Luncai Emas Sdn Bhd pula memenangi kategori Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Tertinggi.

Sebagai info, Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) adalah badan pengutip royalti yang mempunyai lebih 3000 ahli.

Anugerah MACP pula diadakan sejak 1996 bagi mengiktiraf karyawan muzik tempatan dalam pelbagai kategori.