BAK kata pepatah Melayu sekali air bah sekali pantai berubah begitulah juga dengan keadaan para peniaga yang turut menjadi mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 23 di Shah alam baru-baru ini.
Banjir yang melanda mengakibatkan hampir keseluruhan premis perniagaan mereka ditenggelami air sehingga paras siling dan merosakkan peralatan niaga dan barangan jualan.
Setakat Rabu, daripada tinjauan yang dilakukan SatuBerita peniaga dilihat masih bertungkus-lumus membersihkan premis perniagaan mereka untuk untuk mempersiapkan diri meneruskan perniagaan demi kelangsungan hidup.
Salah sebuah perniagaan kembali memulai menyambung perniagaan pada hari ini ialah sebuah restoran mamak yang terletak di Seksyen 25, Taman Sri Muda, Shah Alam.
Pemilik Restoran Al-Yeasin tersebut, Mohd Tariful Islam, 36, berkata, setakat ini, kedai itu merupakan kedai makan yang pertama dibuka sejak bencana banjir melanda kawasan itu 10 hari yang lalu.
Katanya kepada SatuBerita, beliau tidak betah memikirkan pekerja-pekerjanya yang sedang bergelut untuk mencari pendapatan demi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Pekerja-pekerja saya tiada makan nanti mereka lebih susah. Jadi saya kena buka juga kedai. Orang ramai pun sudah mula kerja, mereka pun tak sempat masak di rumah, jadi diorang akan makan di kedai. Saya kesian,” katanya ketika ditemui SatuBerita.
Tambahnya, dia bersama-sama pekerjanya mengambil masa selama empat hari untuk membersihkan kedai mereka dan memulakan kembali operasi mereka sejak Sabtu lalu.
Katanya, dirinya mengalami kerugian kira-kira lebih RM100,000 dan terpaksa memulakan kembali operasi kedai makannya itu sepertimana membuka kedai makan buat kali pertama sekitar setahun lalu.
“Apa pun tiada, semuanya kosong. Sama macam saya nak mula buka kedai makan dahulu. Seperti saya nak buka kedai baharu.
“Semua barang-barang seperti empat buah peti sejuk pun semua rosak saya tak sempat saya selamatkan.Kita pun tak sangka air boleh naik tinggi sampai boleh cecah siling kedai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tariful memanjatkan rasa syukur apabila kedai makannya masih dikunjungi oleh ramai pelanggan biarpun masih lagi beroperasi dengan serba kekurangan.
Salah seorang pengunjung kedai berkenaan, Fauzi Darus, 32, berkata, dirinya memilih untuk makan di kedai milik Tariful itu kerana ia satu-satunya pilihan kedai makan yang beroperasi di sekitar pekan Taman Sri Muda itu setakat ini.
“Saya pusing juga di sekitar pekan ini, kedai ini sahaja yang paling ramai orang dan dia yang paling awal buka.
“Ada satu lagi kedai, tapi yang tu tak buka sepenuhnya lagi sebab masih lagi tengah cuci. Kedai ini sahaja pilihan yang ada,” ujarnya.—SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.