SEORANG daripada tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan kehilangan barang kes, iaitu wang tunai berjumlah RM25 juta yang disita agensi itu kini berada dalam tahanan polis.
Penahanan individu berkenaan disahkan oleh pihak polis pada Rabu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, pegawai berusia 40 tahun itu kini ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor.
“Siasatan dilakukan mengikut Akta LLPK (Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas) dan pegawai berkenaan sedang menjalani hukuman atas kesalahan berkaitan dadah,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd. Jalil Hassan berkata, siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan barang kes melibatkan tiga kakitangan SPRM itu hampir selesai.
“Kita masih menunggu maklum balas pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) berhubung siasatan berkenaan,” katanya.
Pada Oktober lalu, seorang daripada mereka dilaporkan disiasat atas kesalahan membabitkan pengedaran dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Razarudin Husain berkata, suspek dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah sejak setahun lalu.
SPRM sebelum ini mengesahkan tiga pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan berkait dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam urusan kes seorang bekas ketua jabatan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.