Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Muhyiddin harap wang saguhati mangsa banjir disalurkan segera -

[VIDEO] Muhyiddin harap wang saguhati mangsa banjir disalurkan segera

PEMBAYARAN wang saguhati kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas seperti yang diumumkan oleh kerajaan diharapkan dapat disalurkan dengan segera bagi meringankan beban mereka.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain perkara itu, bantuan dari segi kesihatan dan psikologi juga perlu disediakan bagi membantu mangsa yang menghadapi trauma setelah kehilangan harta benda atau ahli keluarga tersayang.

“Segala usaha sukarelawan yang telah berkorban masa, tenaga dan wang juga perlu diberi pengiktirafan dalam membantu mereka yang terlibat dengan musibah ini,’’ katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau berkesempatan untuk menyertai misi bantuan pasca banjir Skuad Prihatin Bersatu di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, hari ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyertai misi bantuan pascaa banjir Skuad Prihatin Bersatu di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, hari ini.

“Skuad Prihatin Bersatu ini telah ditubuhkan sejurus banjir besar melanda negara pada 19 Disember lalu dan pada masa ini sedang giat membantu mangsa-mangsa banjir di semua negeri yang ditimpa bencana ini.

“Misi bantuan hari ini tertumpu kepada kerja-kerja membersih kawasan rumah dan menyampaikan bantuan keperluan harian kepada mangsa-mangsa banjir dan turut disertai oleh sukarelawan Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation (TSMCGF) dan Bersatu Bahagian Hulu Langat,’’ katanya.

Bantuan dua kontena sebagai penempatan sementara

Menurut beliau, pihaknya telah meluluskan bantuan segera dengan menyumbangkan dua kontena sebagai penempatan sementara untuk dua keluarga yang hilang tempat tinggal ekoran banjir di Hulu Langat.


‘’Pegawai Daerah Hulu Langat yang turut hadir juga mengumumkan bantuan kerajaan bagi pembinaan semula sebuah rumah kampung yang musnah.

‘’Saya juga telah menyampaikan bantuan segera berupa barangan makanan, pakaian, peralatan dapur dan barangan keperluan harian lain kepada beberapa keluarga yang saya lawati,’’ katanya.

Dalam misi itu, Muhyiddin turut berkesempatan bertemu dengan dua pengusaha bengkel yang peralatan bengkel mereka rosak akibat banjir.

‘’Insya-Allah, pihak Bersatu juga akan menghulurkan bantuan kepada dua pengusaha ini agar mereka dapat kembali beroperasi semula,’’ katanya.

Tabung Bencana Banjir Bersatu terima sumbangan dana tambahan RM1 juta

Muhyiddin turut memaklumkan Tabung Bencana Banjir Bersatu yang berjumlah RM1 juta telah digunakan untuk tujuan membantu mangsa-mangsa banjir termasuk membeli peralatan pembersihan dan barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa terlibat.

“Melihat kepada keperluan mangsa banjir yang amat terdesak, saya telah berjaya mendapat dana tambahan RM1 juta lagi hasil sumbangan beberapa dermawan,’’ katanya.

Beliau turut memberi saranan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya membuat kajian segera untuk melakukan pedalaman serta pelurusan Sungai Langat bagi mengelakkan banjir besar berulang pada masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir.

“Marilah kita bersama-sama membantu dan menyumbang dalam apa jua cara yang termampu untuk membantu mereka membina semula kehidupan pasca banjir,’’ katanya.

Beliau percaya, beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir ini sedikit sebanyak dapat diringankan dengan semangat bantu membantu yang ditonjolkan oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini.

“Saya berdoa semoga mereka diberi kekuatan dalam berhadapan musibah ini dan saya juga berdoa agar para sukarelawan dan petugas barisan hadapan sentiasa dilindungi Allah SWT dalam melaksanakan misi bantuan,’’ katanya.–SB