BIARAWATI Katolik Missionaries of Charity berkumpul di bawah gambar mendiang madrisa ketika majlis memperingati 10 tahun kematiannya di Kolkata, India. – Foto RUETERS
EKORAN terdapatnya unsur pembiayaan asing kepada pertubuhan amal mendiang pemenang Hadiah Keamanan Nobel Mother Theresa, kerajaan India telah mengenakan tindakan pembekuan akaun terhadap pertubuhan itu.
Alasan yang diberikan kementerian dalam negeri (KDN) India untuk tindakan pembekuan akaun itu ialah permohonan pembaharuan pertubuhan Roman Katolik itu di bawah Akta Sumbangan (Peraturan) Asing (FCRA) ditolak pada 25 Disember kerana tidak memenuhi syarat kelayakan.
“Tiada permohonan untuk semakan diterima daripada MoC untuk kaji semula penolakan pembaharuan itu,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Isnin.
Bagaimanapun, kementerian itu berkata, ia tidak membekukan sebarang akaun MoC dengan Bank Negara India (SBI), sebuah bank sektor awam.
“SBI telah memaklumkan bahawa MoC sendiri menghantar permohonan kepada SBI untuk membekukan akaunnya,” kata KDN.
MoC yang berpangkalan di Kolkata, ibu kota negeri Bengal Barat itu terkenal dengan kerja-kerja amalnya di kawasan setinggan yang luas di bandar ini.
“22,000 pesakit dan pekerja mereka ditinggalkan tanpa makanan dan ubat-ubatan,” ciap Ketua Menteri West Bengal Mamata Banerjee dalam Twitter.
“Meskipun undang-undang itu penting, usaha kemanusiaan juga tidak boleh diabaikan,” katanya.
Pertubuhan amal itu ditubuhkan pada 1950 oleh Mother Teresa, anak kelahiran Skopje, di Macedonia Utara yang meninggal dunia di Kolkata pada 1997 dan diberikan pengebumian negara.
MoC disiasat oleh kerajaan nasionalis Hindu Bharatiya Janata Party (BJP) berhubung dakwaan perdagangan anak angkat pada 2018.
Awal bulan ini, pihak berkuasa di negeri barat Gujarat yang diperintah BJP berkata mereka sedang menyiasat sama ada MoC memaksa gadis di rumah perlindungan untuk memakai salib dan membaca Bible.
BJP dan kumpulan gabungannya, secara kolektif dikenali sebagai “Sangh Parivar”, sering membuat dakwaan “pertukaran agama secara paksa” di institusi yang dikendalikan oleh penganut Kristian itu.
Penganut Kristian mewakili kira-kira 2% dari 1.38 bilion penduduk India.
Sambutan Krismas di beberapa tempat di negara ini telah diganggu oleh kumpulan pemerhati Sangh.
Pengkritik menuduh mereka mempromosikan “Hindutva” (ketuanan Hindu) dan keganasan terhadap komuniti minoriti, termasuk orang Islam. – AGENSI
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.