AHLI ekonomi, Prof. Edmund Terence Gomez meletakkan jawatan sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Gomez dalam surat peletakan jawatannya memberikan alasan keputusan dibuat selepas panel yang dianggotainya itu gagal bertindak terhadap dakwaan pemilikan kira-kira dua juta unit saham saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki di sebuah syarikat senarai awam.
Menurutnya, bekas pegawai tinggi SPRM itu terbabit dalam situasi konflik kepentingan, sekali gus mencadangkan ‘ada suatu trend di institusi itu (SPRM) yang mesti disiasat segera’.
Katanya, perkara itu pertama kali dibangkitkan itu kepada Pengerusi Panel SPRM, Tan Sri Borhan Dolah pada 12 November lalu, dan menggesanya agar mengadakan mesyuarat untuk membincangkan “isu kritikal berkaitan kepentingan negara”.
Menurutnya, Borhan memberikan maklum balas segera terhadap surat pertamanya itu dan memberitahu bahawa mesyuarat itu bakal diadakan dan diuruskan oleh pentadbiran SPRM.
Bagaimanapun dua lagi suratnya selepas itu tidak berbalas.
Gomez berkata, surat kedua yang dihantar pada 26 November dan 14 Disember itu mengandungi maklumat tambahan diterimanya daripada kajian yang menurut beliau sangat meluas dan disifatkan merisaukan.
Dalam surat terakhirnya kepada Borhan bertarikh 14 Disember, dia antara lain menyatakan dirinya tiada pilihan selain meletakkan jawatan jika tidak mendapat maklum balas berhubung perkara itu.
Gomez juga antara lain menyebut tentang sebuah laman web yang menjadi pihak pertama menyiarkan dakwaan berkaitan Azam telah digodam selepas ia diterbitkan.
“Sudah dua minggu sejak saya menghantar surat ini kepada anda. Saya tiada pilihan selain meletakkan jawatan dan ini patut dilihat sebagai bantahan terhadap tindakan anda, selaku pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, yang menangguhkan untuk memanggil mesyuarat berhubung isu yang menjadi tanggungjawab panel ini untuk membincangkannya.
“Tambahan pula, dengan tidak bertindak terhadap laporan melibatkan ketua pesuruhjaya SPRM…merupakan pengabaian tugas terhadap negara yang serius,” katanya dalam surat peletakan jawatannya bertarikh 27 Disember, yang tular di media sosial.
Profesor ekonomi politik di Universiti Malaya (UM) itu menyifatkan ketiadaan perbincangan berkenaan perkara itu sebagai “sangat tidak bertanggungjawab” dan “tidak berhati perut”.
Pada 14 Disember lalu, Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa memfailkan usul tergempar di Dewan Rakyat untuk membahaskan dakwaan pemilikan saham melebihi jumlah dibenarkan oleh Azam.
Sivarasa mendakwa Azam, antara 2015 dan 2016 dilantik sebagai pengarah siasatan SPRM, memiliki 930,000 saham dalam sebuah syarikat pada 30 April 2015, dan 1,029,000 saham lagi pada 31 Mac 2016.
Dia juga mendakwa Azam, pada 21 Mac 2016, memiliki 2.156 juta waran dalam sebuah syarikat senarai awam, Excel Force MSC Bhd., manakala adik lelakinya, memiliki 3.728 juta unit saham dalam Gets Global.
Dia memetik Seksyen 23 Pekeliling Perkhidmatan 3/2002 yang menyebut seseorang pegawai awam boleh membeli saham tetapi tertakluk kepada syarat-syarat, antaranya tidak melebihi lima peratus daripada modal dibayar atau RM100,000 pada nilai semasa. – SB


Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.