Terima kasih atas bakti, pergimu tiada ganti

PERGINYA tiada ganti yang tinggal hanya jasa dan kenangan. Begitu juga dengan kehilangan sebahagian besar anak seni pada tahun ini yang pergi buat selama-lamanya.

Sudah pasti kepergian mereka bukan sahaja akan terus dirindui tetapi juga dalam masa yang sama hilangnya tiada pengganti.

Sebelum menutup tirai 2021, ayuh kita sorot kepergian beberapa orang selebirti tanah air sepanjang tahun ini. Al-Fatihah.

1) Siti Sarah Raissuddin (9 Ogos 2021)

Kehilangan Siti Sarah Raissuddin, 37 tahun begitu dirasai oleh negara apabila dia dijangkiti Covid-19 tatkala ketika itu sedang mengandung anak keempat.

Kehilangan Sarah bukan sahaja mengejutkan negara malam menjadi bahan berita di seluruh dunia kerana bertarung nyawa melahirkan anak setelah beberapa hari di rawat di Hospital Cencelor Tunku Mukhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kepergiannya pada pukul 5.13 pagi selepas tiga hari kelahiran Ayash Affan bukan sahaja dirasai oleh suaminya Shuib tetapi juga kepada peminat yang mengikuti perlambangannya sejak mula mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak lokasi yang sama ibunya disemadikan.

2) Mamat Khalid (24 Oktober 2021)

Kehilangan pengarah filem Mamat Khalid benar-benar dirasai oleh sebahagian besar peminat filem. Pada malam tersebut, Allahyarham tiba-tiba sahaja rebah di kafe miliknya di Tanjung Malim, Perak.

Pihak keluarga menghubungi ambulans dan Allahyarhamterus dibawa ke Hospital Slim River sebelum disahkan meninggal dunia. Berita terebut bukan sahaja mengejutkan tetapi juga menjadi ‘kejutan’ kepada keluarga dan sahabat handai memandangkan ketika itu dia sihat sahaja.

Sebenarnya, penyakit jantung yang dihadapi oleh Mamat bukanlah perkara baharu memandangkan dia pernah dirawat di unit rawatan rapi sebuah hospital swasta beberapa tahun yang lalu.

3) Gmie Screen (10 Disember 2021)

Pernah popular dengan lagu Bila Cinta Didusta nama Gmie yang juga merupakan vokalis kumpulan Screen tidak perlu diperkenalkan lagi.

Namun berita yang diterima pada 10 Disember lalu mengejutkan ramai apabila Gmie disahkan meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang.

Tidak ramai yang mengetahui Allahyarham menderita penyakit tersebut memandangkan dia mahu merahsiakan daripada pengetahuan sahabat handai agar mereka tidak susah hati dengan derita yang ditanggung.

4) Mimi Loma (21 Ogos 2021)

Bagi peminat generasi lama, nama Mimi Loma, 75 tahun bukanlah satu nama yang asing memandangkan dia begitu popular sekitar tahun 1960-an.

Adik kepada Seniwati Saloma dan Mariani ini menyebutkan nafas terakhir akibat sakit tua.

Sepanjang bergelar anak seni, Allahyarham pernah membintangi beberapa buah filem termasuklah Ahmad Albab dan lebih popular sebagai penyanyi.

5) Benjy (11 Julai 2021)

Berita kematian Benjy yang juga merupakan anak kepada Seniwati Azean Irdawaty mengejutkan ramai memandangkan usianya masih muda.

Dia yang meringkuk dalam sebuah penjara di Medan, Indonesia ditangkap kerana memiliki dadah jenis methaphemine seberat 4.5 gram seterusnya dihukum penjara selama 11 tahun 8 bulan.

Jenazah Benjy dikebumikan di sebuah perkuburan di sana tanpa kehadiran keluarga terdekat.

6) Tony Spider (30 Jun 2021)

Kepergian Tony mengundang kesediaan apabila ditemui meninggal dunia seorang diri di studio Luncai Emas milik Datuk M Nasir.

Meskipun ketika ditemui sudah tidak bernyawa, Allahyarham dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk pengurusan sebelum dikebumikan.

Sepanjang bersama kumpulan Spider, Allahyarham pernah menghasilkan beberapa buah album termasuklah Ngam Ho (1999), Aladin (2002), Bintang 12 (2007) dan banyak lagi.

7) Subi Mohtaruddin (13 April 2021)

Menjadi antara penyampai radio popular satu ketika dahulu, nama Subi atau Subarma Mohtaruddin tidak perlu diperkenalkan lagi bagi peminat generasi lama.

Allahyarham pernah popular sebagai penyampai radio Era dan Suria FM, meninggal dunia di Hospital Serdang, sehari selepas menjalani pembedahan membuang sebahagian usus.

8) Noryati Taib (7 April 2021)

Begitu diminati ramai dan sering kali menjadi pilihan kebanyakan pengarah, nama Noryati Taib mungkin tidak dikenali ramai. Namun menyebutkan sahaja nama Makcik Petir, sudah pasti wajahnya terus sahaja bermain di fikiran.

Disahkan positif Covid-19 pada Februari yang lalu, dia kembali pulih namun meninggal dunia dua bulan kemudian di Pasir Gudang, Johor.

9) Datuk Jamali Shadat (3 Februari 2021)

Nama pelawak Datuk Jamali Shadat tidak perli lagi diperkenalkan. Lawak jenaka dan stand up comedy sudah dikenali ramai sejak puluhan tahun yang lalu.

Sejak beberapa tahun yang lalu kesihatan Allahyarham sudah merosot selepas kematian isterinya, Lela Yaacob pada tahun 2018. Allahyarham meninggal pada usia 78 tahun.–SB