Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
BWI mula dibayar hari ini, disalurkan menerusi tiga kaedah mudah -

BWI mula dibayar hari ini, disalurkan menerusi tiga kaedah mudah

BANTUAN Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir akan disalurkan melalui tiga kaedah mudah dan diselaraskan pada peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Tiga kaedah itu adalah serahan tunai di PKOB, serahan tunai rumah ke rumah atau pemindahan tunai secara dalam talian.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, penyaluran BWI itu dibuat dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Mesyuarat memutuskan kaedah ini dilaksanakan untuk mempermudahkan urusan penyaluran BWI kepada mangsa dengan lebih efektif dan pantas.

“Mangsa banjir hanya perlu pengesahan Ketua Komuniti yang dipertanggungjawabkan tanpa perlu mengisi sebarang borang permohonan,” katanya dalam kenyataan berhubung mesyuarat Petugas Khas Pengurusan Pascabanjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Banjir, hari ini.

Semalam media melaporkan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kadar BWI untuk mangsa banjir akibat monsun timur laut kini ditingkatkan kepada RM1,000 daripada RM500 bagi setiap ketua isi rumah terjejas.

Katanya, mangsa boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini iaitu hanya sekali ketika monsun terbabit, manakala bantuan kematian kepada waris mangsa dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Mohd. Zuki yang juga Pengerusi petugas khas itu berkata, sehingga hari ini, kerajaan sudah memperuntukkan RM34 juta untuk disalurkan kepada 34,000 ketua isi rumah di negeri yang terjejas banjir dan mula dibayar hari ini.

Katanya, BWI sebanyak RM1,000 diagihkan kepada ketua isi rumah dan RM10,000 kepada waris mangsa bencana yang meninggal dunia disalurkan kepada pihak negeri.

“Jumlah anggaran ini berdasarkan maklumat ketua isi rumah berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Usaha mengenal pasti mangsa yang tidak berdaftar sedang giat dilaksanakan PKOB dan ICU untuk memastikan BWI dapat disalurkan segera,” katanya. – SB