Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Penjawat awam ditahan kes rogol dua beradik di tepi jalan -

Penjawat awam ditahan kes rogol dua beradik di tepi jalan

SEORANG penjawat awam ditahan bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan dua beradik dalam kejadian dilaporkan berlaku di belukar di tepi jalan Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar dekat Manjung, Perak.  

Suspek berusia 21 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Bercham, di Ipoh pada 2.20 petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.38 pagi, 21 Disember lalu itu, mangsa iaitu dua beradik wanita berusia 37 dan 20 tahun yang menaiki motosikal dilaporkan ditahan suspek ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dua beradik berkenaan melalui lokasi pada 12.05 tengah malam sebelum ditahan suspek yang menunggang motosikal di laluan itu. 

Menurutnya, suspek mengugut untuk membunuh mangsa sekiranya tidak mengikut arahannya sebelum dirogol. 

“Bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya mengesan dan menahan suspek serta merampas pakaian dan kenderaan digunakan ketika kejadian. 

“Suspek adalah penjawat awam yang bertugas di Kota Samarahan, Sarawak. Ketika kejadian suspek sedang bercuti dan berada di daerah Manjung,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 kanun Keseksaan. 

Katanya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam. – SB