JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengingatkan semua pihak agar berhati-hati ketika membuang sampah pukal di kawasan terjejas banjir.
Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata, ia bagi mengelak longgokan sisa itu menghalang pili bomba atau menyebabkannya rosak sehingga menyukarkan operasi pemadaman kelak.
“Kita nasihatkan agar semua pihak berhati-hati terutamanya ketika membuang sampah besar seperti perabot serta barang elektrik bagi mengelakkan pili bomba rosak atau patah dan sebagainya.
“Jika tertimbus kemungkinan pihak pembersihan tidak tahu dan dibimbangi pili bomba tersodok ketika mereka hendak mengangkut sampah nanti.
“Apabila pili bomba berkenaan rosak, ia menyukarkan bomba dan menjejaskan operasi pemadaman jika ada kebakaran di kawasan itu,” katanya memetik laporan BH, hari ini.
Norazam berkata, anggotanya akan membuat pemantauan di lokasi kedudukan pili bomba di kawasan terjejas banjir bagi memastikan pili bomba dalam keadaan baik.
Pada masa sama, beliau mengingatkan sampah longgokan tidak dibakar bagi mengelakkan ia
merebak sehingga berlaku perkara tidak diingini.
Tinjauan mendapati, terdapat satu pili bomba di Jalan Semangat, Seksyen 25/8 Shah Alam hampir diliputi sampah pukal yang dilonggokkan.
Norazam berkata, pihaknya sudah ambil maklum berhubung perkara berkenaan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.