SERAMAI 50 doktor dan pakar perubatan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah@IIUM (SASMEC @IIUM) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di Pahang serta tiga badan bukan kerajaan (NGO) bergabung tenaga menyertai misi bantuan banjir dan perubatan di tiga daerah di negeri ini, semalam.
Misi prihatin yang membabitkan tiga NGO, Imam Response & Relief Team (IMARET), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) itu turut disertai lebih 150 sukarelawan tempatan dan luar Pahang.
Pengarah SASMEC @IIUM, Prof Datuk Dr Mohamed Saufi Awang, berkata, program julung kali diadakan secara bersama dengan NGO bertujuan membantu meringankan beban mangsa banjir di Temerloh, Mentakab dan Maran.
Katanya, setiap doktor akan bertemu dengan satu keluarga mangsa banjir untuk memberi nasihat kesihatan sambil merawat jika ada yang mengalami masalah kesihatan dan kecederaan.
Katanya, pasukan itu membawa bersama 17 jenis ubat bernilai lebih RM4,500 untuk diberikan kepada mangsa banjir yang mengalami masalah kesihatan.
Antara ubat yang disediakan, katanya, adalah ubat batuk, selesema, cirit-birit, demam, luka, antibiotik, gatal dan luka kecil.
“Selain berada di pusat pemindahan sementara (PPS), doktor terbabit juga akan ke rumah mangsa banjir bagi memberi nasihat dan rawatan jika diperlukan,” katanya, memetik laporan BH.
Misi bantuan banjir itu berlangsung selama lima hari dan dijangka bertemu dengan lebih 250 keluarga mangsa banjir.
Yang Dipertua IKRAM Pahang, Suhaimi Mohd Aripin, berkata pihaknya membawa bersama pelbagai barangan bantuan keperluan asas, termasuk bantal dan selimut untuk diagihkan kepada mangsa banjir. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.