Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bapa redah banjir cari makanan untuk anak kelaparan -

Bapa redah banjir cari makanan untuk anak kelaparan

SEORANG bapa nekad meredah banjir untuk pulang ke rumahnya di Taman Tulip 1, Seksyen 29, Shah Alam, Selangor bagi mendapatkan bekalan makanan untuk anaknya yang kelaparan selepas terperangkap lebih 12 jam, Sabtu lalu.

Berkongsi kisah itu, lelaki berusia 35 tahun yang mahu dikenali sebagai Izuan berkata, dia sekeluarga mula keluar dari rumah ke kediaman abang iparnya pada waktu Maghrib selepas air mula memasuki kediaman.

Bagaimanapun katanya, air mula naik mendadak memaksa Izuan dan isteri bersama tiga anak termasuk bayi perempuan berusia sembilan bulan serta ibu mertua sekali lagi keluar dari rumah itu dan berpindah di rumah dua tingkat di kawasan taman belakang.

“Rumah itu masih belum didiami dan kami semua berteduh di tingkat dua. Tiada makanan, air bersih dan elektrik. Semuanya gelap.

“Kami berteduh bersama satu keluarga lain di situ. Situasi ketika itu memang sebak apatah lagi anak kecil menangis kelaparan,” katanya memetik laporan Sinar Harian semasa Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters, semalam.

Kediaman kawasan perumahan di Taman Tulip 1, Seksyen 29 Shah Alam yang mula dibersihkan selepas banjir besar melanda pada Sabtu lalu.

Izuan yang bekerja di syarikat swasta berkata, mengenangkan nasib anak yang kelaparan, dia nekad meredah banjir pada paras 0.5 dan berpatah semula masuk ke rumahnya untuk mendapatkan sedikit makanan pada keesokan harinya.

“Saya bersyukur kerana ada sedikit bekalan biskut dan keropok untuk dijamah kami sekeluarga sementara menanti bantuan tiba.

“Tidak lama kemudian, ada kayak melalui kawasan ini sekitar jam 2 petang dan membawa kami semua keluar dari kawasan banjir.

“Kejadian ini memang tidak disangka seteruk ini dan penduduk di sini amat memerlukan bantuan sokongan,” katanya. – SB