62 kampung Orang Asli tenggelam, hanya 565 keluarga berpindah

0
416

MASIH ramai penduduk Orang Asli di Pahang yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), walaupun sehingga kini, 62 perkampungan mereka disahkan ditenggelami banjir.

Setakat ini, hanya 565 keluarga Orang Ali yang berpindah ke PPS berdekatan dan masih ada penduduk yang terputus hubungan.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi, berkata bilangan mangsa banjir dalam kalangan Orang Asli terbabit sebenarnya ramai tetapi sebahagian mereka enggan berpindah ke PPS atas pelbagai alasan.

Sebaliknya, mereka lebih selesa menumpang rumah saudara, selain tinggal di dalam khemah dan berada di kawasan bukit walaupun tanpa kemudahan.

“Mangsa banjir dalam kalangan Orang Asli yang berpindah ke PPS seperti balai raya dan sekolah, menerima bantuan bakul makanan serta barangan lain yang dibekalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Mereka yang tidak berpindah ke PPS menerima bantuan barangan keperluan asas disampaikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan golongan terbabit,” katanya.

Johari berkata, JAKOA tidak ketinggalan memberikan bantuan kepada mangsa banjir, namun agak terhad berikutan beberapa faktor seperti kawasan terputus hubungan dan tidak dapat menemui mereka.

Bagaimanapun, katanya sokongan serta kerjasama beberapa NGO seperti Projek Asal dan Volunteer Team (JPVT) turut membantu mangsa banjir dalam kalangan Orang Asli.

NGO itu antara lain menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Orang Asli Sungai Miak dan Kampung Orang Asli Batu 19, Bentong.

Sumbangan itu meliputi barang keperluan asas seperti makanan, bahan mentah, dapur, kanvas dan barangan kebersihan diri.

“Selain itu, Pejabat JAKOA Bentong menyumbangkan enam unit tilam angin kepada penduduk Kampung Orang Asli Batu 19 yang berteduh bawah khemah selepas rumah mereka musnah akibat banjir.

“JAKOA akan terus memantau perkembangan Orang Asli yang menjadi mangsa banjir, bagi memastikan mereka tidak berdepan masalah dan dapat pulang ke rumah masing-masing apabila air surut sepenuh,” katanya. – SB


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here