[VIDEO] Permasuri Agong cemar duli masak selama 12 jam untuk mangsa banjir

TATKALA memberi bantuan kepada mereka yang ditimpa musibah, lupakan sementara pangkat dan darjat kerana peri kemanusiaan tidak bergantung kepada semua itu.

Itulah tauladan yang ditunjukkan oleh Raja Permaisuri Agong, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menyinsing lengan baju bagi menyediakan makanan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar Kuantan pada Selasa.

Seri Paduka Baginda berkenan untuk melakukan kerja memasak sendiri di ruang memasak khas KYP Advance Skills di Kubang Buaya, Kuantan bagi menyediakan 13 jenis lauk pauk dan nasi untuk makan tengah hari dan malam kepada mangsa yang terjejas dilanda musibah banjir.

Malah, Seri Paduka Baginda telah membanting tulang selama hampir 12 jam bermula jam 8 pagi sehingga hampir jam 8 malam sambil dibantu oleh seorang pegawai dan 11 anggota dari 4 Briged Mekanize serta 30 orang pelajar Kulinari KYP Advance Skills.

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi Istana Pahang, dapat dilihat Tunku Azizah ligat memotong sayur, membasuh ikan bilis, mengopek telur, mengacau setiap juadah yang dimasak serta turut sama membungkus makanan bersama-sama pelajar-pelajar yang terlibat.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata rakyat memanjatkan rasa syukur dan berterima kasih dengan tindakan Seri Paduka Baginda yang tidak lelah meringankan beban rakyatnya yang sedang diuji musibah.–SB