Osman Sapian, perginya Menteri Besar pertama Bersatu di Johor

0
391

Oleh RAHIMI MOHAMAD

SABTU ini bersamaan tanggal 25 Disember 2021, Datuk Osman Sapian sepatutnya menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang genap ke-70 tahun, namun takdir sudah tertulis apabila bekas Menteri Besar Johor itu menghembuskan nafas terakhirnya malam semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Johor ke-16 pada 12 Mei 2018 setelah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas Johor.

Meskipun hanya sempat berkhidmat selama 11 bulan sebelum melepaskan jawatan pada awal April 2019, Osman tetap akan dikenang sebagai Menteri Besar pertama dari Bersatu yang menduduki jawatan itu.

Kelantangan Allahyarham dalam arena politik memang tidak dapat disangkal lagi apabila sering mengeluarkan kenyataan menegur, mengingatkan dan memberi cadangan kepada pentadbiran negeri khususnya.

Namun di sebalik ketegasan figura itu yang menyertai dunia politik sekitar tahun 1974, beliau amat disenangi oleh rakan-rakan di arena politik serta berdedikasi dalam melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan.

Mula bergelar wakil rakyat pada 1999 apabila pertama kali memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tahun itu, Osman meraih 21,178 undi jauh mengatasi pencabarnya daripada Pas.

Beliau seterusnya mempertahankan kerusi tersebut bagi penggal kedua dan ketiganya dalam PRU pada tahun 2004 dan 2008, namun tidak dicalonkan Barisan Nasional (BN) pada PRU-13.

Pada 2018, Osman yang menyertai Bersatu kembali bertanding di kerusi tersebut dan mudah menewaskan dua pencabarnya dari BN dan Pas sehingga dinamakan sebagai Menteri Besar Johor.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Bersatu Johor sebelum diambil alih oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selain kini penyandang Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam.

Sebelum akhir hayatnya, Osman diserang penyakit angin ahmar ketika berada di kediamannya di Johor Bahru pada 13 Oktober lalu sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Johor.

Osman kemudian dipindahkan ke Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) Selangor untuk mendapatkan rawatan susulan selepas tahap kesihatannya merosot.

Pada awal November, keadaan beliau dilaporkan stabil, namun masih belum pulih sepenuhnya sehingga negara dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham di kediaman anaknya di Damansara pada pukul 11.45 malam semalam.

Allahyarham meninggalkan tiga isteri termasuk Datin Nora Mohd. Som beserta tujuh anak dan seorang lagi yang masih berada dalam kandungan.

Jenazah Allahyarham yang dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kampung Dato’ Onn, Larkin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah, Taman Mount Austin di sini pada pukul 3.55 petang semalam. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here