TAHUN 2021 melabuhkan tirainya dengan musibah banjir yang telah memberi kesan yang besar kepada rakyat Malaysia tatkala masih berhadapan dengan Covid-19.
Musibah banjir di beberapa buah negeri telah mengakibatkan kerosakan harta benda mencecah lebih ratusan juta ringgit.
Malah, ada dalam kalangan mereka yang juga hilang tempat tinggal dibawa arus deras dan apa yang lebih meruntun hati apabila musibah ini turut menyebabkan kemalangan jiwa.
Sejak semalam, tular satu video di TikTok yang dikongsikan oleh @HalimTcG yang menyelamatkan seorang warga emas yang ingin meredah banjir deras.
Difahamkan, kejadian berlaku di Kampung Tanjung Belengu, Temerloh, Pahang yang turut dinaiki air.
Menerusi video yang dikongsikan, dapat dilihat dua orang lelaki yang berada di lokasi tersebut cuba untuk menyelamatkan pakcik itu namun dimarah malah turut dipukul dengan tali.
Bagaimanapun, dua lelaki tersebut tidak berputus asa dan terus memujuk pakcik itu untuk dibawa ke pusat pemindahan banjir.
Video tular itu turut mendapat maklum balas daripada ahli keluarga pakcik berkenaan yang memaklumkan warga emas itu mempunyai masalah penyakit lupa dan nyanyuk.
Pemilik tiktok itu memaklumkan akhirnya berjaya memujuk pakcik tersebut dan sempat memberikan makanan kepada warga emas itu yang sudah sehari tidak makan sebelum bergerak ke pusat pemindahan.
Video itu mendapat pelbagai reaksi dan komen daripada orang ramai yang mengucapkan terima kasih kepada individu berkenaan yang tidak putus asa memujuk pakcik itu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.