Pengurusan Air Selangor Sdn.Bhd. (Air Selangor) memaklumkan status terkini pemulihan bekalan air di tiga wilayah iaitu Wilayah Petaling, Wilayah Hulu Langat dan Wilayah Kuala Lumpur yang terjejas telah mencapai tahap 47.8% peratus, setakat pukul 12:00 tengah hari pada Selasa.
Air Selangor menerusi kenyataan media rasmi mereka memaklumkan, loji rawatan air (LRA) Semenyih 2 sudah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi 70 kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji ini telah pulih sepenuhnya
Selain itu, LRA Sg Langat dan LRA Langat 2 juga telah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji ini dijangka pulih sepenuhnya pada 11:00 malam, 22 Disember 2021.
Sementara itu, bagi LRA Cheras Batu 11 pula, proses pembersihan loji rawatan air dan penilaian kerosakan masih lagi dilaksanakan.
Namun, jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini.
“Bantuan alternatif melalui tangki air masih lagi digerakkan secara berperingkat ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
“Air Selangor juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Mengulas lanjut, pihak Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.