Kurang persediaan, penyelarasan dalam berdepan banjir – Pakar

WALAUPUN banjir adalah kejadian bencana yang saban tahun berlaku di Malaysia, terutama di Pantai Timur, keadaan pada hujung minggu lalu itu dilihat sebagai di luar jangkaan pihak berkuasa.

Menurut Norhazlina Fairuz Musa Kutty dari Universiti Pertahanan Nasional, agensi kerajaan tidak menjangka banjir kilat yang besar sebegitu rupa berlaku di Lembah Klang.

“Masalah ini kita dah maklum, tapi kita masih tak ambil serius.

“Sebab kita rasa banjir kilat sekejap saja, tapi sekarang kita tengok sama sahaja kesannya dengan banjir monsun yang berlangsung selama berhari-hari,” kata Norhazlina yang bertugas di pusat penyelidikan bantuan kemanusiaan dan bencana universiti itu kepada MalaysiaNow.

NorHazlina yang menumpukan penyelidikannya kepada pengurusan bencana alam bandar awam-tentera di Lembah Klang berkata, temu bual dengan pelbagai agensi kerajaan menunjukkan pegawai awam bersedia menghadapi musim tengkujuh di kawasan Pantai Timur, namun tidak bersedia bagi berdepan banjir kilat yang tidak dijangka di kawasan bandar.

Bencana seperti ini di kawasan bandar lebih rumit kerana lokasi terlibat banjir mempunyai tahap kepadatan penduduk yang lebih tinggi daripada kawasan luar bandar, katanya.

Punca banjir Lembah Klang hujung minggu lalu juga turut dikaitkan dengan hujan lebat luar biasa pada Jumaat, apabila jumlah hujan yang turun dalam masa sehari menyamai jumlah purata sebulan hujan di kawasan tersebut.

Zaini Ujang yang merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air berkata, fenomena seperti itu berlaku kira-kira sekali bagi setiap 100 tahun.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau mengaitkannya dengan faktor aliran monsun dan sistem cuaca tekanan rendah.

Sementara itu, NorHazlina berkata usaha bantuan bagi bencana itu turut terjejas ekoran masalah penyelarasan tenaga kerja dan aset bantuan.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan mengikut jejak langkah Indonesia dengan mewujudkan konsortium yang terdiri daripada agensi dan NGO bagi mengendalikan aset-aset bantuan.

“Memang agensi-agensi perlukan banyak aset baru, tapi isunya siapa nak selenggara aset itu dan aset sedia ada,” katanya.

“Di bawah konsortium, duit akan pam ke konsortium itu, duit tu akan disalurkan kepada NGO bertanggungjawab atau agensi untuk bahagian tersebut. Setiap agensi boleh peruntuk bajet. Duit tu kita letak bawah satu konsortium, keluarkan untuk macam-macam aset, gunakan duit ini untuk selenggara,” katanya.

Walaupun undang-undang bencana akan membantu memastikan penguatkuasaan yang lebih baik dalam pengurusan, katanya, tanggungjawab tidak seharusnya hanya diletakkan kepada agensi kerajaan sahaja.

Di sinilah konsep pertahanan menyeluruh (Hanruh) digunakan.

Hanruh ialah sebahagian daripada sistem keselamatan komprehensif yang menghimpunkan komuniti, kerajaan dan badan bukan kerajaan.

NorHazlina sekali lagi merujuk situasi di Indonesia yang mempunyai apa yang dikenali sebagai doktrin Bela Negara.

“Bela Negara ini bermula daripada tadika. Semua yang mereka lakukan adalah untuk negara, sama ada cuci longkang, bersihkan jalan. Mereka berjaya asimilasikan idea tu ke dalam masyarakat,” jelas beliau.

NorHazlina memberikan contoh Acheh, walaupun kurang dari sudut pembangunan, masyarakatnya bersedia menghadapi bencana, katanya.

“Jika ia melibatkan isu respons kepada bencana, 100% kita letak pada kerajaan,” tambahnya.

Dia berkata, penting bagi orang ramai untuk berdikari dalam tempoh 24 hingga 48 jam pertama selepas bencana berlaku, sementara menunggu bantuan tiba. – SB