OPERASI menyedut air banjir keluar di kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor, sedang giat dijalankan yang bermula sejak awal pagi Selasa.
Beberapa mesin menyedut air telah ditempatkan di kawasan sekitar dipercayai untuk disedut keluar menuju ke Sungai Klang.
Laporan-laporan media menyebut sejak malam tadi, beberapa pam air telah diterima kerajaan negeri daripada pihak luar termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran dari negeri-negeri lain dan kerajaan Persekutuan.
Pam-pam ini kemudian telah dihantar ke tempat yang memerlukan seperti Jalan Kebun Bunga dan Batu Tiga serta Taman Sri Muda di Shah Alam dan kerja-kerja pengepaman air telah bermula pada malam tadi.
Selain itu, daripada kira-kira 900 ke 1,000 pencawang elektrik di Selangor, lebih 400 pencawang masih gagal beroperasi semula akibat banjir setakat semalam, menyebabkan bekalan elektrik terjejas di kawasan terlibat.
Bagaimanapun, sebahagian besar kawasan di Taman Sri Muda masih lagi ditenggelami air dan agensi pihak berkuasa telah ditempatkan di kawasan terjejas khususnya bagi menyelamatkan mangsa terkandas.
Ini termasuk bekalan agihan makanan yang telah digerakkan ke kawasan terjejas.
Dalam pada itu, difahamkan, masih terdapat mangsa yang masih belum memperoleh bantuan sepenuhnya.
Terdahulu media melaporkan, jumlah mangsa disahkan lemas akibat banjir di Shah Alam, Selangor meningkat kepada sembilan orang sehingga awal pagi hari ini.
Ketika memaklumkan perkembangan terkini itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, seramai dua mangsa dijumpai pada Ahad, manakala tujuh lagi mangsa dijumpai semalam. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.