ATM aturgerak hampir 1000 anggota untuk bantu mangsa banjir

HAMPIR 1,000 anggota angkatan tentera diraja Malaysia (ATM) telah diatur gerak bagi membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

Selain itu, menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, aset-aset seperti trak 3, 5 dan 7 tan, land rover, bot tempur serta aset udara dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga sedia diatur gerak apabila diperlukan.

Jelas beliau, pada masa kini, kesiagaan anggota dan aset ATM melalui pelaksanaan Operasi Murni (OP MURNI) yang digerakkan oleh Tentera Darat Malaysia memberi tumpuan kepada beberapa kawasan terjejas di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan.

“Berdasarkan situasi semasa, seramai 63 pegawai dan 856 anggota lain-lain pangkat termasuk kumpulan sokongan telah diatur gerak.
“Ini bagi melaksanakan tugas bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, penyediaan dan pengagihan makanan, liason officer di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

“ATM juga sentiasa bersedia dengan kekuatan 1 Kompeni iaitu 5 pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan kesiapsiagaan di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan,” katanya dalam kenyataan beliau yang dikeluarkan pada Selasa.

Menurut beliau, ATM sentiasa meletakkan anggota dan asetnya pada kesiagaan utama untuk di atur gerakkan ke lokasi-lokasi terjejas di samping membantu Pihak Berkuasa Awam dan agensi-agensi keselamatan lain yang dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Ini termasuklah dalam menyegerakan pelaksanaan proses pemindahan serta bantuan-bantuan lain,” kata Affendi. – SB