Tiga mayat korban banjir ditemukan

TIGA mayat yang dipercayai korban banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam ditemukan awal pagi tadi.

Baca berita berkaitan: ‘Kami tiada duit, tapi kami ada kudrat’ – Sukarelawan bantu mangsa banjir

Baca berita berkaitan: Jumlah mangsa banjir meningkat 44,652 orang – Pahang kes tertinggi

Kesemua mayat itu ditemukan orang awam dan bomba ketika kerja-kerja penyelamatan sedang dilakukan. 

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan dua mayat
ditemukan pada 1 pagi manakala seorang pada 5 pagi

Tambah beliau, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.

“Kesemuanya lelaki termasuk satu semalam di Seksyen 22 Shah Alam. Setakat ini, dua daripada tiga korban yang ditemui di Sri Muda dipercayai warga tempatan manakala seorang warga asing dan kita mempunyai kekuatan 120 anggota daripada Pasukan Gerakan Am dan VAT 69.

“Menerusi elemen Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, kita berjaya keluarkan lebih 200 mangsa di Seksyen 23, 24 dan 25,” katanya menurut laporan Warta Rakyat.

Sementara itu, seramai 70 mangsa banjir yang terkandas dalam bencana banjir besar di Taman Sri Muda, Shah Alam berjaya diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota 69 Komando.

Menurut laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), turut terlibat dalam operasi tengah malam tadi ialah “Tiger Platoon” Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Operasi mencari dan menyelamat oleh 69 Komando serta “Tiger Platoon” itu menggunakan empat buah bot kecil yang terdiri daripada dua bot PAC dan dua bot “rubber dinghy”.

“Selain menyelamatkan orang ramai, pasukan 69 Komando dan “Tiger Platoon” PDRM turut mengagihkan bekalan makanan buat mangsa-mangsa banjir yang terlibat,” jelasnya. – SB