Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Jumlah mangsa banjir meningkat 44,652 orang - Pahang kes tertinggi -

Jumlah mangsa banjir meningkat 44,652 orang – Pahang kes tertinggi

JUMLAH mangsa banjir di lapan negeri terus menunjukkan peningkatan kepada 44,652 mangsa daripada 13,487 keluarga.

Menerusi data yang dikongsi oleh laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga jam 10 pagi tadi, mangsa banjir tertinggi dilaporkan di Pahang membabitkan 26,821 individu daripada 7,172 keluarga.

Jumlah yang dinyatakan itu turut membabitkan 8,617 kanak-kanak dan 1,490 bayi. Turut terkesan dalam bencana berkenaan ialah 1,503 warga emas serta 293 mangsa dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).

Kesemua mangsa banjir di Pahang kini sudah dipindahkan ke 240 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di negeri berkenaan. 

Selain itu, data yang dikongsi itu turut memaparkan sehingga jam 10.53 pagi sebanyak 11,931 mangsa banjir daripada 4,384 keluarga dilaporkan di Selangor dan kesemua mereka kini ditempatkan di 80 PPS. 

Jumlah mangsa di Selangor turut membabitkan 2,985 kanak-kanak, bayi (236), warga emas (261), OKU (76) manakala bagi mangsa banjir di Kelantan sehingga jam 10.49 pagi tadi sebanyak 3,659 mangsa banjir membabitkan 1,079 keluarga. 

Kesemua mereka kini ditempatkan di 40 PPS yang turut membabitkan 1,197 kanak-kanak, bayi (121), warga emas (159) dan OKU (32). 

Di Melaka, setakat jam 10.48 pagi tadi terdapat sebanyak 746 mangsa dari 163 keluarga. Mereka kini ditempatkan di 11 PPS yang turut merangkumi mangsa dalam kalangan kanak-kanak (257), bayi (19), warga emas (77) dan seorang OKU. 

Selain itu di Kuala Lumpur setakat 12.14 tengah hari semalam, terdapat sebanyak 526 mangsa daripada 463 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS. Selain orang dewasa, mangsa di negeri ini turut membabitkan kanak-kanak (106), bayi (8), warga emas (20) dan OKU (4). 

Negeri Sembilan pula, sehingga jam 8.47 pagi tadi, sebanyak 408 mangsa membabitkan 86 keluarga kini ditempatkan di 12 PPS. Mangsa yang dinyatakan itu turut merangkumi 131 kanak-kanak, bayi (8), warga emas (29) dan OKU (3). 

Terengganu setakat jam 8.12 pagi tadi melaporkan sebanyak 303 mangsa daripada 71 keluarga yang kini ditempatkan di lapan PPS. Ia turut membabitkan 69 kanak-kanak, bayi (7), warga emas (10) dan OKU (2)

Negeri terakhir ialah Perak, sehingga jam 9.32 pagi tadi terdapat 258 mangsa daripada 69 keluarga. 

Mangsa berkenaan turut membabitkan kanak-kanak (105), bayi (8), warga emas (19) dan OKU (2). – SB