JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 322 notis arahan di bawah Seksyen 31 & 37 serta 1,194 kompaun berjumlah RM2.2 juta membabitkan kesalahan alam sekitar di negeri itu sepanjang tahun ini.
Tindakan itu diambil hasil siasatan yang dijalankan terhadal sebanyak 1,053 aduan berkaitan kesalahan alam sekitar yang diterima daripada orang awam sepanjang tahun ini.
Menurut Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab, sepanjang tempoh sama pihaknya turut membuka sebanyak 10 kertas siasatan (IP) untuk pendakwaan di mahkamah serta satu tindakan penggantungan lesen dan perintah larangan kepada premis.
“JAS Pulau Pinang sentiasa komited dalam menyiasat aduan-aduan berkaitan bidang kuasa di bawah Akta 127 terutama berkaitan pembakaran terbuka, kawalan pencemaran udara dan pelepasan sisa dari industri serta buangan bahan terjadual,” katanya.
Beliau berucap pada majlis ‘Eco Night for Eco Knights’ yang diadakan bagi meraikan rakan strategik JAS Pulau Pinang malam tadi.
Menurut Sharifah Zakiah berkata, Pulau Pinang merupakan negeri yang tertinggi dari segi bilangan premis industri meskipun merupakan sebuah negeri yang kecil.
Perkara itu jelasnya, menjadikan isu penguatkuasaan yang dihadapi JAS Pulau Pinang lebih mencabar dengan bilangan anggota penguatkuasaan yang terhad.
“Kesalahan-kesalahan alam sekitar turut berlaku disebabkan ketiadaan orang yang berwibawa dalam memahami kehendak perundangan serta menyelia pelaksanaan elemen-elemen pematuhan pengurusan buanga terjadual dan kawalan pencemaran di premis,” katanya.
Sehubungan itu tambah beliau, bagi tahun 2022, JAS Pulau Pinang telah merancang beberapa latihan dan seminar untuk industri dan pemaju-pemaju projek pembangunan khususnya yang tertakluk kepada penilaian kesan impak alam sekitar (EIA).
“Pembangunan kini perlu melihat kepada aspek pencegahan serta perancangan yang betul untuk meminimumkan impak pembangunan,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.