TERMA-terma dalam perjanjian projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang ditandatangani kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan Singapura dikatakan boleh mencabuli hak kedaulatan negara.
Oleh itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui beliau semasa menjadi Perdana Menteri dahulu membatalkan perjanjian tersebuut ekoran terma-terma yang berat sebelah.
Menurut Presiden parti Bersatu itu, terma itu termasuk kawalan Singapura ke atas AssetsCo yang akan mengendalikan operasi HSR di Malaysia.
“Dengan pembatalan perjanjian HSR dengan Singapura, kita telah mengembalikan semula kedaulatan negara kita.
“Tanpa penglibatan Singapura, kita mempunyai kawalan sepenuhnya dalam pelaksanaan projek infrastruktur strategik negara ini dan kita boleh buat keputusan-keputusan yang melindungi kepentingan negara kita tanpa campur tangan pihak asing,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Keempat di Kuala Lumpur, hari ini.
Muhyiddin berpandangan, Malaysia tidak perlu menunggu Singapura untuk terlibat semula dalam projek berkenaan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mencadangkan, sebuah konsortium swasta boleh diwujudkan untuk membina projek ini dari selatan ke utara tanah air dengan pembiayaan pihak swasta sepenuhnya termasuk menanggung kos pengambilan tanah.
“Dengan cara ini, kerajaan tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar bagi membina dan memiliki projek ini,” jelasnya.
Beliau juga yakin projek berkenaan adalah berdaya maju untuk jangka masa panjang.
“Dengan prospek penyambungan HSR dengan jaringan landasan keretapi laju yang menghubungkan negara Thailand, Indochina dan China, saya percaya ramai pihak yang akan berminat untuk menyertai projek ini.
“Pelaksanaan projek infrastruktur strategik dengan pembiayaan pihak swasta ini pastinya akan merangsang pertumbuhan ekonomi negara dengan kesan limpahan berganda dinikmati oleh rakyat terutamanya di sepanjang laluan HSR,” ujarnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.