KEMENTERIAN Belia dan Sukan telah menggerakkan skuad Sukarelawan Pasca Banjir ke kawasan terjejas bagi membantu mangsa banjir.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, skuad tersebut digerakkan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara, Pusat Belia Antarabangsa (IYC) , serta beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Eight For Aid dan Kelab Team KBS sendiri.
“Tenaga kerja sukarelawan ini akan memfokuskan kepada kerja-kerja pasca bencana iaitu kerja pembersihan. Selain itu, skuad ini akan turut sama mendapat bantuan dari Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) yang akan membantu kerja-kerja baik pulih berskala kecil,” katanya pada sidang akhbar Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2021, hari ini.
Ahmad Faizal berkata, pada masa sama KBS turut menggerakkan Pusat Panggilan Sukarelawan (PPS) yang diselaraskan oleh Bahagian Pembangunan Rakan Muda di setiap Jabatan Belia dan Sukan Negeri-Negeri bagi mengumpul tenaga kerja sukarelawan.

“Pusat panggilan sukarelawan akan menggunakan database Sukarelawan MyVac, Sukarelawan Sports-Bubble dan NGO-NGO yang sentiasa bersama-sama KBS dalam mengumpul sukarelawan bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan baik pulih.
“Jika tahun lepas KBS menggerakkan hampir 10,000 sukarelawan yang terdiri daripada dari kalangan Alumni Program KBS dan beberapa NGO gabungan di bawah Majlis Belia Malaysia dan NGO yang berdaftar, maka tahun ini kita anggarkan untuk membawa lebih ramai sukarelawan kerana mangsa banjir memerlukan tenaga kerja yang ramai dalam melakukan kerja pembersihan dan baik pulih kediaman,” ujarnya.
Ahmad Faizal berkata, KBS bersedia untuk menawarkan beberapa fasiliti seperti Kompleks Belia dan Sukan Negeri-Negeri, 22 Institusi Latihan KBS dan Pusat Belia Antarabangsa sebagai Pusat Pemindahan Sementara.
“KBS percaya usaha murni ini akan dapat membantu dan bersama-sama meringankan kesulitan yang dihadapi oleh Keluarga Malaysia yang terjejas akibat banjir,” katanya–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.