Jentera Bersatu dikerah bantu mangsa banjir, Muhyiddin umum bantuan RM1 juta

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini mengerahkan semua jentera Bersatu di seluruh negara bagi membantu semua mangsa banjir yang terjejas dalam banjir besar yang melanda negara, ia selepas tiada tanda hujan akan reda dan paras air semakin meningkat.

Bekas Perdana Menteri itu juga telah mengumumkan sejumlah peruntukan RM1 juta yang akan disumbangkan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban mereka yang memerlukan bantuan dan mengalami kerosakan harta benda.

“Sebaik sahaja selesai perhimpunan ini, saya arahkan jentera part serta jentera Perikatan Nasional untuk turun ke kawasan-kawasan yang terjejas untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

“Saya juga bersetuju Bersatu melancarkan Tabung Bantuan Banjir 2021 dengan dana permulaan sebanyak RM1 juta untuk membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara,” katanya semasa ucapan dasar Presiden Parti di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2021 hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berdoa semua rakyat terselamat daripada musibah banjir besar yang melanda negara ketika ini.

Hujan lebat berterusan beberapa hari di Semenanjung Malaysia mengakibatkan beberapa bandar besar terjejas dan air naik melimpah.

kejadian itu turut mengakibatkan beberapa laluan jalan raya terputus akibat paras air yang meningkat dan juga berlakunya tanah runtuh.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga sudah mengerahkan semua asetnya bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas.