CELCOM Axiata Berhad (Celcom) memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk membantu dan memberi sokongan terhadap mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara termasuk di Kuala Lumpur dan Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Idham Nawawi berkata, usaha itu digerakkan bersama rakan kongsinya seperti Agensi Bantuan Malaysia (MRA), Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC (GDRN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi terlibat.
Menurut beliau, pasukan rangkaian Celcom juga ketika ini sedang berjaga-jaga untuk tindakan segera bagi menguruskan sebarang gangguan perkhidmatan di kawasan terjejas banjir.
“Pasukan rangkaian Celcom berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak 36 jam yang lalu, memantau dengan teliti tapak rangkaiannya dalam kawasan yang terjejas banjir.
“Celcom akan kekal berwaspada dan memastikan pasukan rangkaian di lapangan bersedia untuk meminimumkan sebarang gangguan rangkaian,” katanya.
Setakat jam 11.20 pagi tadi, jumlah mangsa banjir yang direkodkan di Malaysia meningkat kepada 17,963 orang membabitkan 6,135 keluarga di lapan negeri dengan Perak dan Kuala Lumpur menjadi negeri terbaru dilanda banjir. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.